fbpx
Politik

Zahid mahu PH perjelaskan sumbangan AS$50 juta Qatar untuk Rohingya

PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa pemimpin Pakatan Harapan memberi penjelasan terperinci perbelanjaan dana berjumlah AS$50 juta (RM198.9 juta) hasil sumbangan kerajaan Qatar untuk pelarian Rohingya.

Ahmad Zahid berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam Facebook beliau pada 25 November 2018 mengakui menerima sumbangan tersebut daripada kerajaan Qatar.

Menurut Ahmad Zahid, Duta Qatar Essa Mohamed juga menyatakan kerajaan Qatar telah mengikrarkan dana tersebut bagi membantu masyarakat Rohingya di Malaysia.

“Kenyataan ini dikukuhkan dengan kedatangan Pengerusi Yayasan Qatar bagi Pembangunan Pendidikan, Sains dan Komuniti (QF) dan Pendidikan Yang Penting (EAA), YAM Sheikha Moza Nasser ke Malaysia dan lawatan ke pusat pembelajaran anak pelarian.

“Pakatan Harapan hendaklah beri penjelasan terperinci mengenai dana ini. Bukan sekadar menyalahkan Barisan Nasional,” kata Ahmad Zahid.


Semakan di Facebook Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada 25 November 2018 mencatatkan pertemuan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dengan Amir Qatar, YM Sheikh Tamin bin Hamad al-Thani di Emiri Diwan Coniche, Doha.

“Saya mengambil kesempatan untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada beliau atas sumbangan USD50 juta kerajaan Qatar untuk program bantuan pelarian Rohingya.

“Kami berbincang langkah untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kerajaan Malaysia dan Qatar. Saya turut mengalu-alukan lawatan rasmi YM Amir Qatar ke Malaysia pada 7 Disember 2018.

“Insyallah hubungan kukuh antara dua negara ini akan memberi manfaat kepada ekonomi dan rakyat,” tulis Dr. Wan Azizah pada catatan tersebut.

Ahmad Zahid menimbulkan isu pemberian dana tersebut selepas beberapa perkongsian di Facebook menuduh beliau telah menerima dana dari Qatar Development Fund dan dimasukkan ke akaun persendirian.

Bekas Menteri Dalam Negeri itu mendakwa, tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau itu adalah fitnah dan bertujuan mengaibkan dirinya.

“Semasa Barisan Nasional menjadi kerajaan, kami telah mengusahakan dana bagi membantu pelarian Rohingya. Qatar berbesar hati memberi penajaan terhadap isu Malaysia ketika itu.

“Namun kerajaan ketika itu tidak menerima apa dana atau bantuan bagi membantu Rohingya. Sehinggalah tampuk di Putrajaya berubah. Dana sebanyak USD 50 juta diterima ketika Pakatan Harapan menguasai Putrajaya,” jelas Ahmad Zahid.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button