fbpx
Nasional

Isu pemandu mabuk tumpuan Dewan Rakyat hari ini

DEWAN Rakyat akan memberi tumpuan isu pemandu mabuk yang disabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah bakal menjadi tumpuan pada hari ketiga persidangan

Isu berkenaan terkandung dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang diajukan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) kepada Menteri Pengangkutan.

Pertanyaan itu juga antara lain membangkitkan kemungkinan pengenalan hukuman mati bagi kes pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

Turut akan dibangkitkan dalam sesi itu adalah pertanyaan daripada Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, mengenai jumlah kerugian pendapatan yang ditanggung industri pelancongan akibat impak wabak COVID-19.

Persoalan berkaitan pelancongan turut dibangkitkan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang ingin tahu perancangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk kembali meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan selepas terjejas teruk akibat COVID-19.

Selain itu, Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) mahu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan tindakan yang telah diambil dalam menangani isu gelandangan dan pelesiran semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.

Ia termasuk pemakaian pelitup separuh muka, penyediaan dan penggunaan pensanitasi tangan serta jarak sosial satu meter antara tempat duduk Ahli Parlimen semasa persidangan berlangsung seperti yang diputuskan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP. – BERNAMA

(Visited 3 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button