Nasional

Guntor Tobeng dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah UTHM

PENGARAH Urusan Kumpulan Gading Kencana Datuk Ir. Guntor Tobeng hari ini dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Sains) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Anugerah berkenaan diberi bagi menghargai kecemerlangan dan jasa bakti beliau dalam dunia perindustrian lestari, pemuliharaan tenaga dan tenaga diperbaharui.

Penghargaan tersebut juga diberikan berikutan kepimpinan Guntor dalam komuniti di peringkat negara dan antarabangsa.

Anugerah itu disampaikan oleh Naib Canselor UTHM Prof. Datuk Dr. Wahid Razzaly pada Majlis Konvokesyen UTHM kali ke-20 di kampus utama di Batu Pahat, Johor.

“Dengan rasa rendah diri dan penuh kesyukuran setinggi-tinggi kasih saya junjung di atas limpah perkenan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar Tuanku Canselor UTHM menganugerahkan saya dengan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Sains).

“Penganugerahan ini merupakan satu penghormatan yang sangat bermakna kepada saya. Dan pastinya akan terus memberi inspirasi kepada saya untuk terus menyanjung tinggi ilmu pengetahuan kerana sumbangannya dalam membentuk peradaban,” kata Guntor dalam ucapannya.

Guntor yang merupakan anak kelahiran Alor Setar mempunyai pengalaman lebih dari 30 tahun dalam pelbagai bidang yang berkaitan dengan sains gunaan, teknologi kejuruteraan dan perniagaan.

Kepakaran beliau diiktiraf dan menjadi penasihat badan profesional antaranya sebagai Kaunselor Majlis Bandaraya Alor Setar, Panel Penasihat Kumpulan Kerja Tenaga Solar Untuk Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Ahli Institusi Kejuruteraan Malaysia dan Pengurus Tenaga Berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga Malaysia.

Bagi membantu pembangunan negara, beliau turut aktif terlibat sebagai Perunding Utama untuk Pembangunan Kecekapan Tenaga dan Rangka Tindakan Tenaga Boleh Diperbaharui bagi Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar dan Pengarah Projek pasukan R&D untuk Pembangunan Sistem Penyesuaian Kualiti Tenaga selain turut terlibat dengan prosedur audit tenaga.

Guntor turut menyumbang khidmat dalam aktiviti kemasyarakatan dan memegang beberapa jawatan antaranya Presiden Kelab Lindungan Alam Sekitar Alor Setar, Penasihat Persatuan Anak Minang Negeri Kedah, dan Past President Malaysia Association of Energy Service Companies.

Beliau merupakan Penasihat Industri bagi program Ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik Gunaan) dengan Kepujian di Jabatan Fizik dan Kimia, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) selama dua tahun.

Sepanjang tempoh tersebut pelbagai program telah dilaksanakan bersama antaranya program aspirasi kerjaya dan lawatan industri.

Gading Kencana terlibat dalam industri menjana tenaga elektrik boleh diperbaharui dan mesra alam sekitar sejak 27 tahun lalu.

Ketika ini syarikat tersebut mengoperasikan dua ladang solar berskala besar. Ladang solar di Bidor, Perak berkeupayaan menjana tenaga elektrik berkapasiti 30 megawatt (MW) dan di Melaka berkapasiti 11.5 juta kilowatt (kW).

Syarikat itu juga akan membina ladang solar ketiga berkapasiti 30 megawatt dengan nilai pelaburan sebanyak RM150 juta di Bidor awal tahun depan.

Selain itu sebagai sumbangan terhadap masyarakat, Gading Kencana kini sedang membina tenaga hidro elektrik mini bernilai RM34 juta di Bidor, Perak untuk kegunaan masyarakat Orang Asal. Projek tersebut dijangka siap pada Disember 2022. – SM

(Visited 565 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button