Nasional

Malaysia, Indonesia, Brunei kutuk Israel

Malaysia bersama-sama dengan Indonesia dan Brunei akan mengeluarkan satu kenyataan bersama bagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim Israel ke atas penduduk Palestin.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yasssin berkata, beliau telah mengadakan perbincangan melalui telefon dengan Presiden Indonesia Joko Widodo berhubung situasi terkini di Palestin.

“Dalam perbincangan tersebut, Presiden Joko Widodo dan saya bersetuju bahawa tindakan ganas rejim Israel harus dihentikan serta merta.

“Kami juga berkongsi pandangan yang sama supaya komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak segera bagi menghentikan keganasan rejim Israel dan menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.

“Dalam hal ini Malaysia akan menerajui, bersama-sama dengan Indonesia dan Brunei, untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama bagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim Israel ke atas Palestin,” kata Muhyiddin dalam satu perutusan khas yang disiarkan secara langsung sebentar tadi.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Malaysia  kesal dengan ketidakmampuan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan serta-merta keganasan rejim Israel keatas Palestin.

Sehingga kini, Majlis Keselamatan PBB belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung situasi di Palestin kerana dibangkang oleh Amerika Syarikat

“Walaupun begitu, Malaysia akan terus berusaha untuk menyeru komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB, untuk bertindak segera bagi memaksa Israel menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin.

“Saya ingin mengulangi pendirian berprinsip Kerajaan Malaysia yang sentiasa konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya samada dari segi politik, ekonomi, dan moral,” kata Muhyiddin.

Menurut beliau, Malaysia melalui Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan menyertai Mesyuarat Tergempar Terbuka secara maya Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) di peringkat Menteri-menteri Luar untuk membincangkan perkembangan terkini di Palestin esok.

Hishammuddin akan menegaskan pendirian Malaysia terhadap situasi di Palestin.

Malaysia menegaskan satu-satunya penyelesaian isu Palestin adalah melalui Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menzahirkan komitmen Malaysia untuk terus memberikan sumbangan secara dua hala kepada Palestin selain sumbangan kepada badan-badan antarabangsa.

Melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) seliaan Kementerian Luar Negeri, Malaysia telah menumbang sebanyak USD10,000 kepada Masjid Al-Aqsa pada tahun 2020.

Sumbangan tersebut telah disalurkan kepada Kementerian Awqaf, Jordan.

Selain itu Kerajaan Malaysia turut menghulurkan bantuan kepada Palestin dalam bentuk barangan perubatan, iaitu satu juta pelitup muka, 500 ribu pelindung muka (faceshields) dan 500 ribu sarung tangan getah.

Sumbangan tersebut telah dihantar menerusi pesawat sewaan khas ke Amman, Jordan pada 10 Mei 2020.

Bagi tahun 2020 Malaysia telah menyumbang sebanyak USD120,000 kepada United Nations Relief and Works Agency in the Near East (UNRWA) bagi menampung kos operasi dan programnya bagi tahun 2020.

Malaysia telah memberikan sokongan yang padu serta sumbangan kepada UNRWA secara konsisten sejak tahun 1978. Sejak tahun 2015, Malaysia telah menyumbang sebanyak USD600,000 kepada UNRWA.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan keprihatinan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia serta rakyat Malaysia yang sentiasa membantu rakyat Palestin.

“Sehubungan itu, saya menyeru saudara dan saudari sekalian agar memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin menerusi tabung-tabung sah yang diwujudkan untuk tujuan ini. Segala usaha dan sumbangan saudara dan saudari semua amatlah bermakna bagi rakyat Palestin.

“Marilah kita semua mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin yang kini sedang ditindas dan dizalimi oleh rejim Israel. Semoga rakyat Palestin akan mendapat perlindungan daripada kezaliman rejim Israel dan pencerobohan haram Israel ke atas bumi Palestin segera berakhir,” tegas beliau.-SM

(Visited 406 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button