JenayahNasional

Dua warga Indonesia cuba bolos sempadan di Sabah, ditahan

BELUM serik, pendatang asing tanpa izin (PATI) masih lagi cuba membolosi sempadan negara walaupun kawalan ketat dilakukan oleh pihak berkuasa susulan penularan wabak Koronavirus (Covid-19).

Terbaharu, dua individu warga Indonesia ditangkap di Tawau, Sabah pada pukul 6.05 petang dalam Operasi Benteng (Op Benteng) oleh Briged Kelima Infantri Malaysia (5 Briged) semalam.

Pergerakan mereka dikesan oleh kumpulan SERKAP apabila perahu dinaiki mereka kelihatan mencurigakan kerana sarat dengan muatan barangan menghala ke Jeti Lama Kalabakan Selatan.

Memetik kenyataan Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia, ketika operasi, pasukan keselamatan mendapati dua daripada mereka cuba melarikan diri sebaik dikesan pihak berkuasa.

Tetapi, mereka berjaya ditangkap oleh orang awam dan diserahkan kepada kumpulan ronda yang sedang mengesan PATI terbabit.

“Setelah siasatan dijalankan, kedua-dua PATI ditahan tidak mempunyai permit yang sah untuk masuk ke Malaysia dan hanya mempunyai pengenalan diri Indonesia untuk mengambil upah mengangkat barang di Pulau Nunukan.

“Rampasan Barang Bersama Tuan (RBBT) seperti perahu kayu (jongkong), enjin bot, barang-barang makanan dan guni pakaian persendirian dirampas dalam tangkapan 2 orang PATI yang berumur 17 dan 37 tahun tersebut,” katanya.

Nilai tangkapan serta barang rampasan dianggarkan mencecah hampir RM33,053 dan kedua-dua PATI di bawa ke Balai Polis Kalabakan untuk siasatan yang lebih terperinci.

Operasi kawalan di sempadan daratan akan diteruskan oleh Trup Tentera Darat bagi memastikan OP Benteng dapat diperkukuhkan dari aktiviti PATI dan ancaman anasir-anasir luar. – SM

(Visited 571 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button