Nasionalpilihan

Mohamed Khaled lawat RKAT Desa Tun Abdul Razak, serah peruntukan senggaraan RM9.3 juta

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin melakukan lawatan kerja ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Tun Abdul Razak (DTAR) di Kem Perdana Sungai Besi, semalam.

Lawatan ini bagi tujuan meninjau perkembangan projek penyelenggaraan beberapa buah RKAT yang sedang berjalan serta mengambil maklum akan keperluan khususnya dalam soal kebajikan para anggota.

Kehadiran Menteri Pertahanan telah disambut oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Haji Muhammad Huzaimi bin Sabri serta pegawai-pegawai kanan Kem Perdana Sungai Besi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin ketika melawat sebuah unit di Blok E1, RKAT DTAR.

Satu sesi taklimat secara lisan telah disampaikan oleh Pegawai Memerintah 94 Unit Perkhidmatan Kejuruteraan Angkatan (UPKAT), Kolonel Nik Amir bin Nik Ya’acob kepada Menteri Pertahanan dan delegasi bertempat di Blok E1, RKAT DTAR.

Setelah selesai taklimat, Mohamed Khaled telah dibawa untuk melawat dan melihat sendiri kondisi dan keadaan persekitaran semasa bangunan RKAT E1 yang didiami oleh warga penghuni.

Semasa sesi lawatan ini juga, Mohamed Khaled telah berkesempatan untuk menyempurnakan majlis penyerahan mock cheque Peruntukan Senggaraan Tahun 2024 RKAT Kem Perdana Sungai Besi berjumlah RM 9,330,000,00 kepada Panglima Medan Barat Tentera Darat.

Peruntukan yang diterima ini akan dimanfaatkan merangkumi projek pembaikan dan senggaraan sebanyak 937 buah di RKAT Desa Tun Abdul Razak bagi pelaksanaan meliputi skop senggaraan sivil dan mekanikal.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin ketika melawat dan melihat sendiri kondisi serta keadaan persekitaran semasa bangunan RKAT E1 yang didiami oleh warga penghuni.

Skop senggaraan sivil adalah di kawasan am yang merangkumi pembaikan terhadap bumbung bangunan. Manakala skop senggaraan mekanikal meliputi pendawaian semula elektrikal serta kawasan bawah rumah meliputi bilik pam, bilik sesalur elektrik dan sesalur air.

Jangkaan pelaksanaan projek senggaraan ini akan dilaksanakan bermula pertengahan bulan April 2024.

Mohamed Khaled berkata, anggota-anggota tentera yang sentiasa sedia dan setia mempertaruhkan nyawa kepada negara tidak seharusnya dibebankan untuk turut memikirkan sendiri aspek kebajikan diri dan keluarga mereka.

“Kerajaan dan kementerian lah yang harus memberi perhatian kepada perkara-perkara ini. Jadi, kementerian sangat berharap yang kedua-dua inisiatif ini akan membantu semua anggota pertahanan negara menjalankan tugas dengan lebih baik.

“Pada masa sama, kita berharap yang inisiatif-inisiatif ini akan turut membantu melonjak ekosistem kebajikan serta pendidikan angkatan tentera,” ujarnya.

Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Tun Abdul Razak (DTAR) di Kem Perdana Sungai Besi

Turut mengiringi lawatan beliau adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Isham bin Ishak.

Kementerian Pertahanan sentiasa menumpukan tekad kepada usaha besar meliputi kebajikan dan kemashalatan warganya. Aspek kebajikan warga ATM adalah menjadi teras utama yang dititikberatkan dalam menjamin tahap kesejahteraan warga sentiasa terpelihara dan memiliki moral yang tinggi dengan kualiti hidup yang sejahtera. – SM

Artikel berkaitan > MINDEF laksana projek selenggara RKAT di Port Dickson untuk keselesaan anggota dan kerluarga ATM

(Visited 61 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button