Nasional

Penghubung Kerjaya Veteran Tentera, PERHEBAT galas amanah besar

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin semalam telah menyampaikan Diploma Kemahiran Malaysia (Program Recognition of Prior Experiental Learning – RPEL) kepada 181 anggota dan veteran ATM.  Manakala, sejumlah 247 bakal pesara ATM ditauliahkan Sijil Latihan Peralihan di Kompleks PERHEBAT, Sungai Buloh.

Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) berperanan melaksanakan program Latihan Peralihan dalam bidang teknikal, vokasional (TVET) dan keusahawanan bagi memangkin kerjaya kedua veteran tentera.

PERHEBAT sedang memantau perkembangan kerjaya seramai 6,851 orang veteran yang tamat Latihan Peralihan pada tahun 2023. Hasil daripada pengesanan kerjaya kedua, sebanyak 60% veteran berjaya mempunyai kerjaya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin menyampaikan diploma dan sijil sempena Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia (Program Recognition of Prior Experiential Learning – RPEL) & Sijil PERHEBAT di Kompleks PERHEBAT, Sungai Buloh

Kementerian Pertahanan dan ATM perlu mengambil tanggungjawab moral untuk bersama-sama membangunkan satu ekosistem yang berkesan dalam menyediakan bakal pesara dengan segala latihan dan pendedahan yang bersesuaian.

Khaled berkata, langkah itu penting memandangkan ketika ini kira-kira 40 peratus veteran masih mencari pekerjaan selepas bersara.

“Kita mesti meneliti dan memberi perhatian untuk memahami dengan lebih mendalam situasi dan faktor mengapa kira-kira 40 peratus veteran masih mencari pekerjaan.

“Masih banyak lagi ruang pengukuhan dan pemantapan yang perlu sama-sama kita usahakan. Kita tidak boleh mudah berpuas hati dan PERHEBAT mesti bergerak secara lebih radikal, progresif dan inovatif,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.

Khaled turut menyaksikan pertukaran 8 dokumen MoU antara PERHEBAT bersama Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, GIATMARA, GGS Global Sdn. Bhd. dan Bravo Energy Sdn. Bhd. bagi program latihan dan penempatan pekerjaan. Manakala, MoU bersama Affin Islamic Bank Bhd., Bank Muamalat Malaysia Bhd. dan Bank Simpanan Nasional bakal menyediakan latihan dan insentif perniagaan kepada veteran ATM.

LKpL Dr. Muhammad bin Abu Bakar (B)

Menurut LKpL Dr. Muhammad bin Abu Bakar (B), program RPEL yang dilaksana PERHEBAT dapat membantu meningkatkan kepakaran beliau untuk memajukan perniagaan perkhidmatan sokongan minyak dan gas yang diusahakannya.

Inisiatif RPEL dan Latihan Peralihan dilihat mampu memberi nilai tambah kepada anggota dan veteran sebagai sebahagian kelayakan yang diperlukan untuk memulakan pekerjaan baharu selepas tamat perkhidmatan bersama ATM.

 “Terima kasih kepada Kementerian Pertahanan dan PERHEBAT di atas inisiatif ini, kerana saya dapat membuat persediaan untuk bersara dan menyesuaikan dalam sektor awam, jadi PERHEBAT adalah satu platform yang terbaik untuk anggota tentera membuat persiapan sebelum melangkah keluar daripada perkhidmatan.”

Lt Kol Noorazam bin Bharom

Manakala bagi Lt. Kol. Noorazam bin Bharom yang masih lagi berkhidmat di Rejimen 515 Askar Wataniah berpendapat, kursus-kursus yang ditawarkan oleh PERHEBAT ini amat berguna kepada beliau dalam membuat persiapan apabila bersara kelak.

 Berasal dari Kedah, bapa kepada tujuh orang anak ini telah berkhidmat hampir 33 tahun bercita-cita  untuk membuka syarikat perkhidmatan sekuriti apabila bersara atau bekerja dengan syarikat sekuriti.

Dengan memperoleh Diploma Pengurusan Operasi Sekuriti melalui program RPEL yang ditawarkan PERHEBAT, beliau berkata “Ilmu dan pendedahan yang diberikan, telah menambah pengetahuan saya berkaitan dengan pengurusan operasi sekuriti yang saya ambil ini.”

Bintara Kanan TNL Siti Maryam binti Abd Rahim

Bagi Bintara Kanan TNL Siti Maryam binti Abd Rahim yang mengikuti Latihan Peralihan dalam Kursus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pula banyak mengajar beliau daripada segi strategi pemasaran dan perniagaan serta menjana pendapatan apabila tidak lagi berkhidmat bersama ATM. Pada masa ini beliau sedang menjalankan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual kopi dan tudung.

 “Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pertahanan, ATM khususnya TLDM kerana memberi peluang dan ruang kepada saya turut serta dalam program PERHEBAT sebagai platform persediaan untuk melangkah ke dunia awam nanti.” katanya.

Koperal Kumaresan A/L Arumugam

PERHEBAT juga menawarkan kursus Usahawan PKS Agrotani (USAHAWANTANI PUTRA-PERHEBAT) bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) yang telah menarik minat Koperal Kumaresan A/L Arumugam yang berkhidmat selama 21 tahun bersama ATM.

Ketika ini, beliau memulakan perniagaan menternak kambing dan lembu secara kecil-kecilan dan mempunyai perancangan untuk meluaskan lagi perniagaannya, hasil daripada latihan serta bimbingan daripada PERHEBAT dan UPM.

“Saya banyak dapat bantuan dan bimbingan daripada PERHEBAT dan UPM daripada segi pengetahun tentang PKS Agrotani ini. Untuk masa hadapan, saya juga berhasrat menyediakan latihan praktikal kepada bakal-bakal pesara yang mengikuti Latihan Peralihan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada ATM dan Tentera Darat Malaysia kerana banyak memberi sokongan kepada saya untuk melihat saya lebih berjaya.” ujar beliau lagi.

Antara anggota ATM yang menerima Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil PERHEBAT di Kompleks PERHEBAT, Sungai Buloh.

Kementerian Pertahanan melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP) memberi keutamaan dan komitmen tinggi terhadap insiatif pembangunan modal insan dan sosioekonomi kepada Bakal Pesara dan Veteran ATM. Ini termasuklah inisiatif bagi membantu kumpulan sasar itu dengan menyediakan program latihan dan peluang kerjaya kedua setelah tamat perkhidmatan. Sebagai agensi pelaksana, PERHEBAT akan terus diperkasakan sebagai Enabler yang menjadi penghubung kepada kerjaya kedua veteran. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button