Nasional

Dong Zong, Jiao Zong anjur persidangan bantah Jawi

KAJANG – Tiada tolak ansur. Terkini Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina MalaysiaDong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dilaporkan akan mengadakan persidangan pertubuhan Cina untuk membantah pelajaran pengenalan kepada tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan.

SinChew Daily melaporkan, persidangan itu dijadual berlangsung pada pada 28 Disember ini.

Sebagai tanda bantahan pertubuhan itu turut menggesa lembaga pengelola dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) untuk memulangkan garis panduan pelajaran tulisan Jawi kepada Kementerian Pendidikan

Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim dilaporkan sebagai berkata, persatuan lembaga pengelola peringkat negeri juga diminta bermesyuarat atau bersidang bagi membantah perkara tersebut.

Katanya, persatuan berkenaan juga diminta mengumpulkan tandatangan dan tanda cop lembaga pengelola dan PIBG sekolah sebagai tanda bantahan.

Pertubuhan itu turut menegaskan peranan lembaga pengelola sekolah dalam membuat keputusan selain mahu Kementerian Pendidikan menarik balik garis panduan yang dikeluarkan.

Pertubuhan itu sebelum ini tidak bersetuju dengan pelajaran pengenalan kepada tulisan Jawi kerana ia bertentangan dengan keputusan Kabinet dan Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP).

Selain itu,  kuasa pengurusan yang diperuntuk kepada lembaga pengelola sekolah di bawah Akta Pendidikan 1996 dikatakan turut dipinggirkan.

KPM pada asalnya bercadang memperkenalkan pembelajaran tulisan Jawi sebanyak enam muka surat dalam buku teks Bahasa Malaysia tahun empat.

Namun setelah mendapat bantahan daripada pertubuhan berkenaan, ia dikurangkan menjadi tiga muka surat dan bakal dilaksana ‘secara pilihan’.

Bagaimanapun, kerana bangkangan terus disuarakan, akhirnya Kabinet memutuskan pengajaran tulisan jawi itu tertakluk kepada persetujuan PIBG di sekolah vernakular.-SM

(Visited 303 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button