Nasional

Bimbang ramai hilang kerja babit kepentingan bahasa kebangsaan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan kebimbangan trend pemberhentian pekerja membabitkan sektor di mana bahasa kebangsaan mempunyai kepentingan.

Menurut Mohamad, selepas akhbar Utusan Melayu dan Kosmo ditutup hingga mengakibatkan beribu hilang pekerjaan ia kemudian disusuli pengumuman Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menamatkan khidmat beratus orang pekerjanya.

Kini petugas di Media Prima pula berhadapan dengan pemberhentian kerja secara besar-besaran.

Justeru, Mohamad turut bimbang petugas Dewan Bahasa dan Pustaka yang menjaga kepentingan bahasa kebangsaan juga akan mengalami nasib yang sama.

“Seminggu ini terdapat ura-ura bahawa beribu pekerja Media Prima di TV3, NTV7, 8TV, TV9, New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro bakal diberhentikan.

“Saya khuatir, tidak lama lagi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga akan berhadapan dengan tindakan rasionalisasi sumber yang hampir sama,” kata Mohamad.

Mohamad mempersoalkan sama ada semua pemberhentian membabitkan industri yang mengembang dan menyuburkan bahasa kebangsaan ini,  kerana faktor ekonomi semata-mata atau kerana sikap tidak peduli kerajaan.

“Dulu mereka punya seribu jawapan membela pekerja, hari ini mereka buat-buat tidak nampak ‘gajah di depan mata’.

“Kerajaan punya banyak kuasa dan pengaruh,  mengurangkan beban rakyat, termasuk membantu industri berkaitan ilmu dan bahasa kebangsaan.  Namun kuasa sentiasa menguji dan mengalpakan manusia,” tegas Mohamad.

Menurut beliau kerajaan Pakatan Harapan naik dan diberi mandat oleh rakyat kerana menjanjikan sejuta pekerjaan baru.

Namun apa yang berlaku sejak setahun ini ialah makin ramai yang kehilangan pekerjaan dengan tahun ini sahaja berpuluh ribu orang telah dibuang kerja.

“Bercakap menjual mimpi memang mudah, bila mahu melaksanakan nampak seperti bertelur sebiji riuh sekampung sahaja. Hakikatnya keadaan ekonomi sekarang sudah tidak semakmur sebelum PRU-14, maka ramailah yang hilang pekerjaan.

“Kepada yang berhadapan musibah kehilangan kerja ini, bertabahlah. InsyaAllah ada rezeki di jalan lain. Rakyat terutama orang Melayu, boleh menilai sendiri sikap dan tindak-tanduk parti pemerintah hari ini,” kata Mohamad.-SM

(Visited 102 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button