Nasional
Trending

Isteri hamil ditetak hingga mati kerana cemburu

SEORANG isteri yang hamil maut ditetak suami dipercayai akibat cemburu dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit, dekat Tawau petang semalam.

Memetik laporan BH Online, kejadian itu difahamkan berlaku pada pukul 5 petang semalam di mana mangsa dikenali sebagai Norhasnah Sahanin, 20-an, ditemui meninggal dunia di ruang tamu sebuah rumah kongsi tidak bernombor dekat Kampung Tanah Merah Checkpoint, Kilometer 50, Jalan Tawau-Semporna.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, memberitahu polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 7.06 malam dan terus lokasi kejadian sebelum gerakan memburu suspek dilancarkan.

Berdasarkan siasatan awal katanya, didapati suspek yang juga warga asing berusia 22 tahun dan bekerja sebagai buruh ladang di situ melarikan diri selepas kejadian itu.

“Suspek akhirnya ditahan selepas tujuh jam bersembunyi di ladang kelapa sawit iaitu kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian pada jam 12.05 tengah malam.


“Turut dirampas sebilah parang panjang berukuran 68 sentimeter bersama sarung parang biru dan sehelai seluar panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada suspek mengetahui mengenai hubungan sulit isterinya, namun mangsa enggan menceritakan hubungan sulit itu dengan lebih lanjut.

Pemeriksaan awal ke atas fizikal mangsa mendapati satu kesan tetakan di belakang leher disyaki menggunakan senjata tajam selain si mati juga dipercayai sedang mengandung.

“Suspek kini ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

(Visited 377 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button