Nasional

Najib beritahu mahkamah tidak tahu SRC rancang pohon pinjaman RM3.95 bilion daripada KWAP

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memberi keterangan membela diri dalam perbicaraan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC), memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak tahu syarikat itu merancang untuk memohon pinjaman RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Najib, 66, yang merupakan Menteri Kewangan dan Penasihat Emeritus SRC ketika itu berkata beliau tidak menyedari perkara itu dan tidak dimaklumkan bahawa surat bertarikh 3 Jun 2011 daripada SRC untuk memohon kelulusan pinjaman sebanyak daripada KWAP akan dihantar kepadanya.

Beliau yang memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi bagi membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC, berkata beliau telah menemui bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi atau CEO SRC, Nik Faisal Ariff Kamil atau kedua-duanya antara 7 Jan 2011 hingga tarikh surat permohonan itu.

“Surat itu memaklumkan tentang inisiatif yang membawa kepada pinjaman yang dicadangkan SRC.

“Kemungkinan besar saya telah dimaklumkan mengenai perkara ini sebelum saya menerima surat tersebut. Saya tidak boleh mengingati secara khusus apa inisiatif yang telah dicadangkan itu, tetapi sudah semestinya ia adalah sesuatu yang cukup substantif terutama sekali apabila saya memberikan sokongan saya kepada SRC.

“Ini adalah berdasarkan visi SRC yang dijangkakan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri,” katanya ketika disoal peguamnya Wan Aizuddin Wan Mohammed.

Ketika ditanya Wan Aizuddin mengapa surat permohonan kelulusan tersebut dialamatkan terus kepada beliau dan bukannya KWAP, Najib berkata ia mungkin kerana telah dinyatakan dalam surat permohonan itu, SRC akan beroperasi di bawah nasihat Perdana Menteri.

Najib berkata surat itu kemungkinan telah dihantar ke pejabat beliau dan diterima oleh Ketua Setiausaha Sulitnya, Datuk Azlin Alias, bagaimanapun tiada sebarang perbincangan diadakan mengenainya.

Membacakan penyataan saksinya, Najib juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan tentang resolusi lembaga pengarah dikeluarkan oleh pemegang saham 1MDB yang mencadangkan pemindahan dana kepada Falcon Private Bank Ltd dan Julius Baer Bank bagi pelaburan di Asia Tenggara dan RM1.5 bilion untuk usahasama (JV) antara Aabar Investment PJS Ltd. dan SRC.

“Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) selaku pemegang saham 1MDB hanya akan meluluskan resolusi tersebut jika ia melibatkan nilai yang besar mengikut Akta Syarikat 1965…namun saya hanya mengetahui apabila ia telah diselesaikan,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata beliau tidak mengenali individu bernama Zahid Taib dari 1MDB yang mengaturkan pertemuan antara beliau dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Datuk Mat Noor Nawi di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Pertemuan itu adalah berhubung dokumen draf memorandum pengambilalihan SRC oleh MKD di mana mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa Najib menandatangani dokumen itu atas bonet kereta.

“Saya beranggapan bahawa beliau telah dimaklumkan untuk berjumpa dengan saya di sana oleh Datuk Azlin atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop,” kata Najib.

Ditanya peguamnya berhubung pemindahan saham SRC kepada 1MDB, Najib berkata: “Saya juga tidak sedar bahawa saham syarikat SRC hanya dipindahkan kepada 1MDB pada akhir 2011 kerana ia tidak konsisten dengan apa yang ditunjukkan kepada saya”.

Pada 11 Nov, mahkamah memerintahkan Najib membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung hari ini.

— BERNAMA

(Visited 94 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button