BeritaNasional

Bila Warung Ambo tak perasan Tengku Permaisuri Norashikin mencemar duli

Oleh WARTAWAN SUARA MERDEKA

PERNAH melalui kepahitan jatuh dalam perniagaan, Nor Azlina Che Husin pemilik Warung Ambo berpegang pada satu prinsip ini sahaja – tidak akan menghampakan hasrat orang terutamanya mereka yang susah.

Walaupun Warung Ambo – restoran menyediakan pelbagai makanan tradisi Kelantan terletak di Laman Glenmarie dan Kajang – sentiasa dikunjungi ramai termasuklah dari golongan kelas atasan antaranya pegawai tinggi kerajaan dan mereka berpangkat besar, Nor Azlina tidak gelap mata.

“Saya pernah menempuh zaman bisnes jatuh bankrap sehingga orang tua di kampung terpaksa jual tanah untuk bantu membuka lembaran baharu kehidupan.

“Waktu itulah baru kita kenal siapa kawan kita, tapi biarlah semua itu jadi sejarah.

“Sebab itu saya sentiasa ingat dan bersyukur atas rahmat-Nya dan apabila Warung Ambo semakin dikenali, saya sematkan dalam diri tidak akan naikkan harga makanan di sini,” kata Nor Azlina, 42, kepada Suara Merdeka.

Kata Nor Azlina, baru-baru ini dia dikejutkan dengan kehadiran DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin ke Warung Ambo di 38, Jalan Novelis U1/86A, Laman Glenmarie, Shah Alam.

“Rupa-rupanya saya tidak perasan kehadiran Tengku Permaisuri ke warung saya sebelum ini. Kata Tengku Permaisuri Norashikin, beliau sudah kali kedua ke situ dan menikmati makanan betul-betul di depan kaunter bayaran.

“Saya minta maaf kepada beliau kerana tidak menyedari kehadirannya, lebih-lebih bila waktu puncak tetapi beliau menyatakan tidak mengapa sebab suka menjamah makanan kami. Terima kasih Tengku Permaisuri Norashikin atas sokongan,” kata Nor Azlina lagi yang dibantu adiknya, Nor Azlindawanis, 36, yang turut bertindak sebagai pengurus.

Di Warung Ambo, antara menu tersedia termasuklah nasi kerabu, nasi dagang, nasi ayam, nasi sup dan pelbagai kuih-muih tradisional serta laksam Kelantan yang semakin popular hasil air tangan seorang anak Kelantan, Che Aida Dollah.

Selain di Laman Glenmarie, Warung Ambo turut membuka cawangannya di Lot 1513-A, Jalan Bangi, Kampung Sungai Tangkas, 43000 Kajang.

– SM

(Visited 1,965 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button