Mahkamah

Inkues: Tiada DNA asing pada mayat Nora Anne

MAHKAMAH Koroner Seremban hari ini diberitahu tiada asid deoksiribonukleik (DNA) asing ditemukan pada mayat remaja Perancis-Ireland Nora Anne Quoirin termasuk di bahagian alat sulitnya.

Pengarah DNA Jabatan Kimia, Petaling Jaya, Nor Aidora Saedon berkata keputusan itu adalah berdasarkan eksibit yang diberikan oleh pihak berkuasa.

Saksi keenam dalam prosiding inkues bagi mencari punca kematian Nora Anne itu berkata eksibit pertama adalah ujian swab atau calitan yang diambil daripada ahli keluarga Nora Anne manakala yang kedua daripada mayatnya dan yang terakhir adalah sampel yang diambil di tempat kejadian.

“Tugas saya adalah menganalisis eksibit dari tempat kejadian jenayah dan setahu saya laporan pertama bernombor 19FRB18998 adalah daripada eksibit pertama yang dihantar, ketika Nora Anne masih belum dijumpai.

“Oleh itu anda akan lihat daripada beberapa calitan dan eksibit yang saya berjaya mendapatkan profil dilabelkan sebagai “Individu Satu.”

“Laporan ketiga, 19FRB99139, adalah ketika Nora Anne sudah dijumpai dan kami dapat pastikan individu dalam laporan itu ialah Nora Anne, dan sudah tentu berdasarkan eksibit serta daripada analisis saya, kami tidak menemukan sebarang DNA asing pada mayat Nora Anne,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Maimoonah Aid.

Ketika ditanya Maimoonah apa yang dimaksudkannya dengan tiada kehadiran DNA asing, Nor Aidora menjelaskan: “DNA asing pada mayatnya malah daripada calitan, kuku atau rambut, yang diambil bermaksud bukan milik Nora Anne.

“Sebagai manusia, kita biasanya meninggalkan DNA kita di sekeliling kita, oleh itu berdasarkan eksibit yang diambil, boleh agak siapa yang meninggalkan bukti,” katanya dan menjelaskan DNA bukan sesuatu yang boleh diubah.

Prosiding inkues akan berlangsung sehingga 4 September dengan sejumlah 64 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan itu.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Mayat Nora Anne ditemukan sembilan hari kemudian pada 13 Ogos, berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berkuasa.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja istimewa itu tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan. – BERNAMA

(Visited 144 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button