MahkamahNasional

Jabatan Peguam Negara diberi 2 minggu lagi kemas kini kes saman pencen

MAHKAMAH Tinggi hari ini memberi tempoh lanjutan dua minggu kepada Jabatan Peguam Negara untuk memaklumkan perkembangan terkini berhubung penyelesaian dalam kes saman membabitkan isu pencen yang difailkan 35 individu terdiri daripada bekas anggota badan kehakiman serta tujuh balu pesara hakim.

Saman itu difailkan selepas mereka mendakwa kerajaan gagal menetapkan kadar bersesuaian bagi kenaikan pencen dan faedah yang diterima plaintif sejak 2015.

Peguam Christopher Leong yang mewakili 35 plaintif berkata, Jabatan Peguam Negara telah memohon kepada mahkamah untuk lanjutan masa dua minggu lagi berhubung perkara itu dan ia dibenarkan oleh Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh semasa pengurusan kes, hari ini.

“Mahkamah kemudian menetapkan 19 Mac untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak mengemas kini penyelesaian,” katanya kepada Bernama.

Pada 31 Januari lalu, mahkamah yang sama telah memberi tempoh sebulan untuk pihak-pihak menyelesaikan saman itu. Sebelum ini, mahkamah sama pada 6 Okt 2022 telah memberi tempoh dua bulan kepada kerajaan untuk meneliti kemungkinan cadangan penyelesaian dalam saman itu.

Saman itu yang difailkan pada 24 Januari 2022 menyaksikan plaintif menamakan kerajaan Malaysia, perdana menteri, Jemaah Menteri dan ketua pengarah perkhidmatan awam sebagai defendan.

Mereka memohon deklarasi bahawa kegagalan untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain bagi setiap plaintif mengikut Seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45) melalui perintah dalam Warta telah melanggar Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

Turut dimohon perintah bahawa defendan kedua atau ketiga (perdana menteri dan Jemaah Menteri) hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain yang diberikan kepada setiap plaintif berkuat kuasa dari 1 Julai 2015 mengikut Seksyen 15B(2) Akta 45.

Plaintif juga berkata, mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971, pencen hakim bersara dan orang tanggungan hakim yang telah meninggal dunia diselaraskan secara automatik berdasarkan gaji semasa hakim masih berkhidmat yang disemak secara berperingkat dari semasa ke semasa sebagaimana yang wajib dilakukan menurut Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan. -SUMBER FMT -SM

(Visited 24 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button