Nasionalpilihan

Tutup kilang bukan langkah yang ideal, akan menambah lebih masalah

Angka kes Covid-19 dalam negara pada hari ini masih lagi berada di angka melebihi 11,000 kes sehari.

Menerusi komen-komen yang ditinggalkan di laman sosial, desakan untuk menutup kilang yang didakwa sebagai punca kes Covid-19 melonjak masih lagi disebut.

Namun, penutupan sektor perkilangan dan pembuatan sebenarnya bukanlah penyelesai masalah yang ideal apatah lagi sektor tersebut merupakan tunjang ekonomi negara.

Ketua Ekonomi Pusat Penyelidikan Pasaran Buruh Masa Hadapan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Prof. Madya Dr. Mohd. Yusof Saari berkata, sektor pembuatan adadalah penyumbang besar kepada Keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan penyumbang kepada pekerjaan rakyat dalam negara.

Ketua Ekonomi Pusat Penyelidikan Pasaran Buruh Masa Hadapan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Prof. Madya Dr. Mohd. Yusof Saari

“Kalau bagi alasan untuk tutup sektor pembuatan untuk melihat bilangan kes turun, kita kena tengok juga daripada sektor ekonomi.

“Bilangan kes tidak menurun sekarang dan ekonomi semakin parah. Contohnya banyak bendera putih dan masalah sosial akan wujud kesan daripada kekangan ekonomi.

“Sektor pembuatan adalah nadi kepada sektor-sektor lain dan penutupan kilang terutamanya di Selangor dan Kuala Lumpur akan memberi kesan jangka masa pendek dan panjang kepada negara.

“Laporan Bloomberg pada bulan lalu juga menunjukkan kita turun 35 anak tangga ke kedudukan 51 daripada 53 negara dalam Indeks Daya Tahan Covid,” katanya ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

Menurutnya, mereka yang melihat ekonomi secara keseluruhan tidak akan menyarankan supaya kilang ditutup dan akan mencari cara lain sebagai timbal balik.

“Kita sekarang sepatutnya mencari titik tengah bagi memastikan kilang boleh beroperasi dan memastikan kadar keboleh jangkitan Covid-19 boleh dikawal dalam masa yang sama.

Dalam pada itu, Dr Mohd Yusuf berkata, hendak melihat sesebuah negara itu berjaya atau tidak adalah menerusi ekonomi.

“Perkara pertama kita tidak boleh lihat pada angka jangkitan kerana jumlah itu tidak memberi makna bahawa negara kita berisiko.

“Sekarang Covid-19 seolah-olah sudah berada di mana-mana dan kita kena sesuaikan diri untuk hidup dengan wabak tersebut.

“Untuk melihat sesebuah negara itu gagal atau tidak adalah bagaimana isu Covid-19 ditangani dan sejauh mana tahap ekonomi negara itu,” katanya. -SM

(Visited 788 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button