Nasional

Ibrahim dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM

BEKAS Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Emeritus, Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah baharu universiti itu.

Pelantikan beliau berkuatkuasa hari ini menggantikan Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir yang tamat kontrak.

“Tahniah saya ucapkan kepada Ibrahim di atas pelantikan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM.

“Beliau merupakan Naib Canselor Kedua UiTM bagi tempoh sembilan tahun bermula pada 1 Januari 2001 dan bersara pada 31 Disember 2009.

“Saya yakin berbekalkan pengalaman luas dalam dunia pendidikan di negara ini, beliau mampu meneruskan kegemilangan UiTM.


“Dalam usaha membantu anak Bumiputera mendapat pendidikan tertinggi dan menghasilkan profesional bersaing di dalam dan luar negara.”

Ucap Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Ibrahim merupakan sosok yang cukup sinonim dengan UiTM malah sangat dekat dengan para mahasiswa dan juga alumni universiti itu.

Malah, kembalinya beliau ke UiTM selepas beberapa tahun bersara meninggalkannya pada 2009 diumpamakan seperti ‘sirih pulang ke gagang’.

Ini kerana selepas bersara, beliau bergiat aktif dalam sektor pendidikan bagi UMNO dan menjadi Ahli Majlis Tertinggi parti itu sebelum kembali semula ke UiTM dengan anugerah Profesor Emeritus.

Sebelum itu juga beliau pernah dilantik menjadi Ahli Dewan Negara selama dua penggal sejak 2014 hinggalah Oktober 2020.

Ibrahim juga merupakan seorang pemimpin universiti yang sangat lantang memperjuangkan peluang pendidikan bagi bumiputera.

Malah, beliau juga diketahui umum antara individu yang mempertahankan UiTM atas cubaan pelbagai pihak mahukan institusi itu dibuka kepada kaum bukan bumiputera.

Peranan dan sumbangan Ibrahim amat penting kepada UiTM, malah dalam tempoh pentadbirannya selama sembilan tahun, banyak perubahan besar dilakukan demi memastikan kecemerlangan institusi pengajian tinggi bumiputera itu.

Suara Merdeka mengucapkan tahniah kepada Ibrahim diatas pelantikan ini semoga UiTM terus cemerlang melahirkan graduan berkualiti dan mempunyai ciri kepimpinan. – SM

(Visited 139 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button