Nasional

Aktiviti haram bubu naga terus digegar Zon Maritim Kuala Perlis

PERAIRAN Kuala Perlis masih digugat oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab apabila masih lagi berani menggunakan bubu naga yang diharamkan kerajaan.

Bagaimanapun Pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis terus memperhebatkan lagi operasi bagi membanteras aktiviti haram dari terus berleluasa.

Kali ini sekalipun individu atau kumpulan tidak bertanggungjawab ini didapati mengubah tektik baharu dengan memasang bubu naga yang diikat secara berangkai dan diletakkan dengan beberapa ketulan batu bata sebagai pemberat pada kayu pancang.

Selain itu diletakkan pula kain berwarna merah pada pancang kayu sebagai penanda adanya bubu naga.

Pasukan Op Aman yang melakukan rondaan telah melihat petanda pelik ini di permukaan air sekaligus membawa kepada rampasan 46 set bubu naga di 0.6 batu nautika dari pantai barat Kurung Tengar, Kuala Perlis pada pukul 5.15 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Mohd Hashim Mat Zain berkata, ia melibatkan penggunaan bubu naga sepanjang sepuluh meter.

Beliau berkata, jumlah bubu naga itu ditemui dengan lebih banyak apabila pasukan ini meluaskan radius pencarian di kawasan berkenaan.

Mohd. Hashim berkata, rampasan bubu naga tersebut dianggarkan bernilai hampir RM3,680.

“Semuanya dibawa ke Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pemilik bubu naga ini boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Tambahnya, jika seseorang individu itu ditahan maka boleh dikenakan denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Katanya, Jabatan Perikanan Malaysia telah mengharamkan penggunaan bubu naga ini sejak 1 November 2018 kerana sifatnya yang selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

Tambahnya, bubu naga ini yang mempunyai banyak injap dan bermata kecil bukan sahaja boleh memusnahkan ekosistem serta sumber hasil laut untuk jangka panjang malah menjejaskan pendapatan nelayan terutama nelayan pantai atau tradisional yang menggunakan pukat hanyut bagi menangkap ikan.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

 

(Visited 323 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button