Politik

i-Sinar: 8 Mac terlalu lewat

PENGUMUMAN yang dibuat oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengenai keputusan permohonan pengeluaran i-Sinar pada 8 Mac dikira terlalu lewat.

Ini kerana, tarikh tersebut sekadar memaklumkan keputusan sedangkan tarikh pembayaran akan dikreditkan ke dalam akaun pencarum belum diketahui lagi.

Justeru, KWSP dan kerajaan seharusnya tidak melengahkan lagi masa untuk membenarkan pencarum mengambil wang dalam simpanan mereka.

Sedangkan pencarum sudahpun menunggu sejak mula-mula perkara ini dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Oktober 2020.

Sejak itu, rakyat sudahpun menunggu sebelum dikecewakan dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November 2020 dan bacaan kali ketiga pada 15 Disember 2020.


Justeru, sekiranya keputusan hanya diketahui pada Mac dan pengeluarannya pula tidak ditentukan lagi tarikhnya, maka rakyat sudahpun menunggu selama lima bulan untuk mengeluarkan wang simpanan mereka.

“Jadi masa sangat berharga walaupun satu atau dua hari. Kalau tidak rakyat tidak akan mengeluh. Rakyat mengeluh ini bukan retorik, ini memang benar-benar apa yang rakyat perlukan

“Masa adalah sangat berharga lebih-lebih lagi ketika kebanyakan rakyat ketika ini dihimpit dengan tekanan ekonomi yang luar biasa akibat daripada impak negatif pandemik Koronavirus (Covid-19).”

Demikian kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, dalam kenyataannya hari ini memetik kembali katanya ketika wawancara di Wacana Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman yang dibuat oleh KWSP semalam memberitahu semakan status bayaran dan kelulusan i-Sinar bermula pada 8 Mac ini.

Keputusan tersebut adalah bagi pemohon yang memohon dalam Kategori 2 bermula 11 Januari lalu.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan mengumumkan akan menarik balik kriteria dan syarat pengeluaran i-Sinar selepas berbincang dengan pihak KWSP.

Sementara itu, Asyraf Wajdi menambah, kerajaan diminta untuk mempermudahkan lagi pengeluaran i-Sinar dan tidak membiarkan rakyat tertunggu-tunggu untuk mengeluarkan duit mereka.

“Permudahkan jangan persulitkan. Nak tunggu 8 Mac ini untuk buat keputusan lambat.

“Itu baru keputusan, belum lagi penyaluran. Itu pun tak tahu lagi bila,” gesanya. – SM

(Visited 945 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button