fbpx
Politik

Covid-19: Bukan masa untuk salahkan PH, PN

KETIKA ini bukanlah masa untuk menyalahkan kerajaan terdahulu iaitu Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan sekarang pimpinan Perikatan Nasional (PN) berikutan peningkatan kes virus Covid-19.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, terdapat beberapa pihak di media sosial yang mahu bermain ‘blame game’ atau menyalahkan kerajaan baru dalam isu pembendungan wabak Covid-19.

Ini terutama selepas kenaikan mendadak jangkitan Covid-19 melibatkan peserta acara “ijtimak tabligh” di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur.

Menurut Najib acara ijtimak tabligh tersebut berlangsung pada 27 Februari hingga 1 Mac iaitu selepas Perdana Menteri ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin hanya dilatik pada 29 Februari manakala Kabinet Perikatan Nasional pula berfungsi selepas majlis angkat sumpah pada 10 Mac.

“Cuba fikir. Acara tabligh tiga hari itu melibatkan 16,000 orang peserta di mana anggaran 14,500 adalah orang tempatan manakala 1,500 adalah peserta negara lain. Sudah tentu acara ini telah dirancang dan diluluskan lebih awal dahulu, iaitu sebelum PM ke-7 letak jawatan.

“Kalau nak kesan dan uji seramai 14,500 orang serta ahli-ahli keluarga mereka memang bukan satu langkah yang senang dan boleh disiapkan serta-merta.

“Sebab itu, penyokong-penyokong PH patut henti salahkan kerajaan PN tentang kenaikan kes Covid berkait acara tabligh itu,” jelas Najib.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, beliau dan kerajaan Parikatan Nasional tidak langsung menyalahkan Perdana Menteri ke-7 sebagai punca kes Covid melonjak naik kerana beliau meletakkan jawatan secara tiba-tiba sehingga menyebabkan negara tidak mempunyai anggota Kabinet selama seminggu.

Najib berkata, ketika ini menjadi tanggungjawab bersama untuk rakyat Malaysia membendung penularan virus Covid-19.

“Kita juga tak ingin salahkan kerajaan PH dahulu kerana mereka membenarkan acara tabligh besar-besaran itu dirancang dan dianjurkan pada masa Covid sedang merebak. Ianya tanggungjawab bersama untuk membendung wabak Covid.

“Apa yang kita boleh buat pada masa ini ialah menekan kerajaan PN untuk lebih tegas dan berharap semua agensi kerajaan menunaikan tanggungjawab masing-masing kepada Rakyat dengan sebaik-baiknya,” kata Najib.

Kementerian Kesihatan semalam mengumumkan lonjakan jangkitan Covid-19 sebanyak 190 kes yang  kebanyakkannya melibatkan kluster jemaah tabligh.

Ini menjadikan keseluruhan yang dijangkiti seramai 428 orang di Malaysia. Sebanyak  42 telah sembuh. Daripada 386 orang yang sedang dirawat ketika ini sembilan telah dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi. Mereka dalam keadaan stabil.-SM

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button