PolitikRencana

YB PH diburu bayangan silam

SEMASA berkempen semua tidak ingat diri. Dedah itu dedah ini. Sumpah itu, sumpah ini.

Fitnah itu, fitnah ini. Dan bila Allah nak tunjuk kini pemimpin BN dan PH duduk di dalam saf yang sama sebagai kerajaan.

Berilah apa juga justifikasi anak-anak kecil sekalipun boleh faham ia hanyalah demi takhta dan harta.

Segala prinsip perjuangan sanggup digadaikan dan kini terpaksa hidup dalam resah serta bimbang kerana jerangkap samar dipasang sendiri dan lawan sukar dibeza.

Almaklumlah apabila terpaksa tidur sebantal dengan serigala, musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan dan api dalam sekam.

PH mungkin lega seketika kerana UMNO kini sedang sibuk kerat mengerat, pancung memancung sesama sendiri.

Selepas itu giliran PH akan tiba. Lihatlah Pas yang menghulur tangan membantu mereka terhumban ke dalam lembah kehinaan sekalipun dikerat tangan, apatah lagi PH yang hanya membantu Zahid Hamidi kembali ke dalam kabinet dan memaksa pemimpin menelan ego dengan menerima jawatan timbalan menteri sahaja.

Ibarat lompat ke syarikat baharu dengan harapan untuk naik pangkat, tetapi sebaliknya diterima. Bukan sahaja terpaksa turun pangkat, bahkan gaji pula dipotong. Duit ikat tepi pula sudah tiada.

Jika dahulu pemimpin PH sibuk dengan mahukan kebebasan media, tetapi kali ini baru beberapa hari berkuasa mereka sibuk menyekat media sosial dan media.

Tiktok yang satu ketika hanya medan mereka yang gemar berjoget, kini ditakuti oleh PH kerana di situ berlonggoknya konten politik.

Pada ketika ini PH hanya mampu menguasai perang di Twitter dalam kalangan masyarakat yang perasan bijak. Di Facebook di mana prinsipnya semua orang tidak pandai, PH ternyata kalah.

Paling teruk PH kalah ialah di TikTok yang kontennya lebih menghiburkan walaupun sebaris ayat Ho Hoi Ya Hoi.

Ada pemimpin PH yang gila formula kini naik gila memikirkan untuk memberitahu bahawa semua formula selama ini adalah penipu.

Sebab itu orang politik tidak boleh terlampau banyak cakap, suatu hari ia akan memakan diri sendiri.

Tuduh orang itu penyamun, akhirnya hari-hari bergelumang dengan penyamun. Lebih malang perlu mensucikan penyamun dengan menyalahkan orang lain.

Jika ketika berkuasa 22 bulan PH menjaja hutang negara 1 trilion, kini mereka bermain cerita skandal 600 bilion.

Yang agak berbeza PH tidak terlalu releks, sudah memulakan kelaziman mereka iaitu membuat laporan polis dan menyaman mereka yang tidak sehaluan.

Sebenarnya PN belum memulakan serangan. Hanya PH dan BN yang takut pada bayang-bayang sendiri ketika ini.

Bayangkan apabila PN mula bertindak!

 

(Visited 357 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button