fbpx
Politik
Trending

UMNO tidak calon Tok Mat sebagai TPM

TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak mungkin dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri, walaupun beliau sesuai mengikut hierarki.

Namun, kepimpinan UMNO dikatakan tidak memilih atau mencalonkan beliau bagi menjawat jawatan tersebut yang didakwa dicadangkan untuk UMNO oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Mohamad yang dikenali sebagai Tok Mat bukanlah seorang Ahli Parlimen untuk melayakkan beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Jika beliau dilantik sebagai Senator pun untuk menjadi orang nombor dua dalam kerajaan, hal tersebut pasti menimbulkan persoalan dalam kalangan pimpinan UMNO.

Ini kerana Mohamad juga dikatakan tidak diterima dengan baik dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO walaupun beliau dilihat berjiwa rakyat dan diterima akar umbi, lapor portal Free Malaysia Today (FMT) hari ini.


Malah, dalam sejarah kabinet Malaysia pun belum pernah Timbalan Perdana Menteri dipilih dalam kalangan Ahli Dewan Negara.

Bagaimanapun, beberapa calon lain didakwa disebut untuk dicadangkan bagi jawatan tersebut iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bagaimanapun, menurut laporan FMT lagi, Ismail Sabri dilihat sebagai calon paling tepat dan tidak mempunyai isu beban politik serta dipercayai oleh Muhyiddin.

“Keputusannya mungkin tidak mewakili suara UMNO. Ahli Parlimen melihat pelbagai faktor sebelum membuat keputusan,” kata sumber kepada FMT.

Sementara Hishammuddin pula mungkin akan menimbulkan isu dalam UMNO kerana beliau dikatakan rapat dengan Muhyiddin dan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencadangkan supaya kepimpinan UMNO mencontohi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, calon Timbalan Perdana Menteri mestilah orang yang tidak mempunyai beban politik dan kes mahkamah untuk menyertai Jemaah Menteri.

Katanya lagi, Najib Razak sebagai contoh terbaik kerana menolak sebarang jawatan.

“Tidak semestinya Zahid. Kami faham jika tidak ditawarkan kepadanya kerana perbicaraannya sedang berlangsung.

“Kita mesti mencontohi Bossku (Najib Razak) yang tidak mahu memegang jawatan sehingga namanya dibersihkan.

“Apa yang penting timbalan perdana menteri dari Umno dan mewakili parti dan Barisan Nasional,” ujarnya. – SM

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button