Rencana

Highland Tower kisah yang belum diceritakan

SAYA menyertai Utusan Malaysia sebagai wartawan pada bulan Februari 1993. Saya terus ditempat di meja jenayah. Alasannya kerana saya kehilangan seperti anggota polis.

Sebagai wartawan baharu apa pilihan yang ada, selain daripada akur dengan arahan ketua. Saya tidak kesal kerana memulakan kerjaya sebagai wartawan jenayah, kerana di meja inilah saya belajar pelbagai helah untuk mendapatkan berita dan pada masa yang sama memastikan ia adalah ekslusif.

Pada hari biasa saya sering meronda dari balai polis ke balai polis dan sering juga mengikuti operasi polis, majlis agama Islam dan pihak berkuasa tempatan.

Operasi ramai berebut nak ikut ialah operasi menangkap pasangan berkhalwat atau tangkap basah. Operasi yang sering mengelak ialah menangkap pendatang asing dan menangkap penagih dadah.

Satu hari pada bulan November tahun yang sama saya menaiki bas mini bersama teman wanita untuk ke satu lokasi di Ulu Klang. Tiba-tiba jalan menjadi sesak yang luar biasa.

Pemandu bas yang saya naiki sempat bertanyakan penunggang motosikal yang lalu di celah-celah kesesakan apa punca kesesakan. Penunggang berkenaan menjerit, “Ada helikopter terhempas”.

Saya pun melihat alat kelui yang tersisip dipinggang. Tiada sebarang mesej dari pejabat, kerana ketika itu saya tidak bertugas.

Alat kelui atau pager adalah gajet wajib dipakai oleh wartawan jenayah. Ketika dahulu tiada telefon bimbit. Jadi menerima mesej sila hubungi pejabat, jadi kita perlu cari telefon awam untuk bertanyakan apakah arahannya.

Bos biasanya akan menghubungi pusat mesej yang menghantar mesej pendek kepada para wartawan jenayah yang memegang alat kelui. Walaupun boleh dihantar certot di dalam melalui kaedah itu tetapi biasanya bos yang dalam keadaan kelam kabut hanya akan menghantar mesej di dalam bahasa Inggeris “Please call office”.

Jadi satu lagi yang harus ada sentiasa ada di dalam kocek wartawan jenayah ialah duit syiling.

Bagaimanapun hari itu kerana tiada arahan untuk melaporkan diri, jadi saya meneruskan perjalanan ke lokasi dituju.

Pada sebelah malam ketika menonton berita pukul 8 malam, baharu saya sedar ada bangunan yang tumbang. Ya saya maksudkan tumbang dan bukannya runtuh di Ulu Klang.

Besoknya saya melaporkan diri. Bos saya terus tersedar yang dia telah lupa untuk memanggil saya melaporkan diri.

Saya terus diarahkan supaya ke lokasi kejadian menaiki van syarikat yang disediakan bagi menghantar surat khabar dan petugas ke lokasi bencana.

Operasi mencari menyelamat mangsa mengambil masa dua minggu. Saya tidak akan bercerita tentang kejadian itu kerana telah banyak dilaporkan dan boleh ditemui melalui carian di google sahaja.

Yang saya hendak ceritakan ialah kisah seorang lelaki yang saya temui apabila saya diarahkan bertugas di bilik mayat.

Saya perasan setiap hari lelaki itu akan berada di kawasan bilik mayat bersama payung besarnya kerana ketika itu musim hujan.

Saya menghampirinya dan bertanyakan apakah dia menunggu ahli keluarga yang turut terkorban dalam kejadian tersebut.

Pada mulanya dia serba salah untuk bercerita, tetapi akhirnya dia membuka mulut.

Menurut lelaki itu dia sudah hati kerana yang terkorban itu ialah rakannya dan setakat ini mayatnya belum ditemui.

Ini adalah kerana lelaki berkenaan telah berbohong kepada isterinya yang dia pergi mesyuarat di Pulau Pinang.

Sedangkan rakannya itu berjumpa dengan perempuan simpanannya yang tinggal di Highland Tower.

Hanya dia yang tahu penipuan itu dan dia tidak tahu bagaimana hendak diberitahu kepada isteri rakannya.

Selepas itu setiap hari saya melihat dia datang ke bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL). Sesekali dia akan datang dan berbual dengan saya.

Jadi cerita yang diberitahu oleh lelaki berkenaan telah mengesahkan khabar angin bahawa apartmen mewah itu menjadi tempat menyimpan perempuan simpanan.

Kejadian itu mengorbankan lebih 40 mangsa dan keadaan mayat sangat menyedihkan.

Bau mayat dapat dihidu selepas berbulan selepas kejadian kerana daging mangsa masih terdapat pada serpihan batu bangunan yang dilonggok di tepi jalan.

Jadi tidak hairan apabila ramai yang melaporkan kawasan berkenaan sering kelihatan makhluk berkeliaran, selain menjadi sarang penagih dadah.

Jadi apabila kerajaan memutuskan untuk memperindahkan kawasan berkenaan sebagai memperingati kejadian itu ia adalah keputusan yang wajar, supaya ia tidak lagi menjadi kawasan yang penuh dengan masalah sosial, tetapi harus dikenang sebagai pengajaran kepada semua.

 

 

(Visited 1,444 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button