Rencana

Dari Kelantan ke Perancis: Perihal hot pants dan hijab

Oleh Rozhan Othman

MEMANG aneh bila Kelantan dengan label Islamnya dan Perancis dengan label sekularnya menunjukkan persamaan. Apatah lagi bila persamaan ini mendedahkan bahawa disebalik retorik kebebasan dan persaudaraan di Perancis dan retorik Islam dan hak bukan Islam di Kelantan, kedua-dua hampir sama dari segi sikap memaksa (coercive) mereka terhadap golongan minoriti.

Di Kelantan, baru-baru ini telah timbul kontroversi seorang wanita bukan Islam yang memakai seluar pendek didenda di Kota Baru. Seperti biasa, pemimpin parti terbabit telah mempertahankan tindakan ini. Orang bukan Islam diingatkan supaya jangan keterlaluan mengikut fahaman “liberal” dan bergelagat  seperti binatang.

Pada minggu lalu ini juga, sebuah mahkamah di Perancis telah melarang pemakaian hijab di kalangan pemain bola sepak wanita di negara itu. Alasan yang diberikan ialah pemakaian hijab mengancam sekularisma Perancis. Seperti biasa keputusan ini hanya ditujukan kepada pemakaian hijab. Ia tidak merangkumi simbol-simbol dari agama lain. Tindak-tanduk anti-hijab ini adalah sebahagian dari satu corak yang telah muncul di Perancis sejak 20 tahun dahulu.

Kedua-dua peristiwa ini menimbulkan persoalan mengenai hak asasi individu. Adakah kerajaan, sama ada di Perancis atau Kota Baru, berhak menentukan bagaimana seorang individu harus berpakaian? Adakah kerajaan berhak melarang seorang wanita Islam memakai hijab jika beliau menginginkannya? Patutkah mahkamah menjadi penentu bentuk berpakaian untuk bersukan? Tidakkah seorang wanita Islam berhak menentukan cara mengamalkan agamanya tanpa campurtangan mahkamah atau kerajaan. Bukankah keputusan mahkamah ini bererti mahkamah Perancis telah mencampurtangan dalam urusan agama yang sebenarnya bertentangan dengan idea sekularisme?

Persoalan yang sama juga boleh ditimbulkan mengenai peristiwa di Kota Baru. Adakah kerajaan tempatan boleh memaksakan kod berpakaian yang dibentuk oleh nilai-nilai Islam ke atas golongan bukan Islam? Adakah sebuah parti politik berhak melarang orang bukan Islam dari berpegang pada fahaman “liberal”? Jika orang bukan Islam tidak boleh menjadi liberal, apakah pegangan yang boleh mereka anuti? Bila golongan bukan Islam ditegah dari menjadi “liberal” adakah ini merangkumi semua bentuk liberalisme? Adakah larangan ini turut merangkumi neo-liberalisme, paleoliberalisme, ordoliberalisme dan liberalisme ekonomi? Demikian juga, adakah orang bukan Islam di Kelantan hanya boleh berpegang kepada fahaman yang diluluskan parti politik terbabit dan kerajaan tempatan? Bukankah ini memberi implikasi golongan bukan Islam boleh dipaksa berpegang pada kepercayaan yang tidak mereka setujui? Bukankah ini telah menyimpang dari maqsud “tiada paksaan dalam agama” yang termaktub dalam al-Quran? Walaupun Kelantan dan Perancis berbeza dari segi pegangan ideologi, tetapi gelagat kedua-duanya hampir sama sahaja dalam isu ini.

Turut menjadi persoalan ialah adakah kerajaan tempatan, iaitu MPKB, telah mewartakan kod pakaian yang tidak boleh dipakai seorang bukan Islam di dalam premis perniagaannya sendiri? Demikian juga, jika seorang wanita Muslim tidak memakai hijab di Kota Baru adakah dia juga boleh dikenakan denda? Bagaimana pula dengan acara sukan di Kelantan? Jika SUKMA diadakan di Kota Baru, adakah para peserta yang tidak berpakaian mengikut kehendak MPKB akan diserbu dan didenda? Sebelum ini, isu pakaian seragam jururawat menjadi isu yang dijuarai seorang ahli Parlimen parti agama ini. Jika pakaian seragam jururawat pun dianggap menggoda oleh seorang ahli Parlimen parti ini, apakah yang dianggap bentuk pakaian yang wajar? Adakah sentimen ini menggambarkan bibit-bibit Talibanisma di Malaysia.

Satu perkara yang aneh ialah minat ahli-ahli siasah agama kepada isu-isu yang bersifat seksual. Sebelum ini mengenai isu pakaian pramugari syarikat penerbangan ditimbulkan, kemudian pakaian seragam jururawat dan kemudiannya cara pakaian bukan Islam. Nampaknya, ahli-ahli siasah agama ini begitu asyik meneliti pakaian wanita. Mereka nampaknya mudah teruja mengenai isu-isu sebegini. Inikah kaliber pemimpin dari kalangan ahli-ahli siasah agama ini? Tidakkah ada masalaah lain yang lebih memerlukan perhatian mereka?

Kelantan khususnya merupakan sebuah negeri yang mempunyai kadar jangkitan HIV yang tinggi, kadar penceraian yang tinggi dan kadar penagihan dadah yang tinggi. Barangkali tibalah masanya ahli-ahli siasah agama ini mengalihkan perhatian mereka daripada pakaian wanita kepada masalah-masalah yang lebih besar.

Dan wujudkah pelaksanaan undang-undang secara terpilih di Kelantan? Kenapa isu pakaian wanita bukan Islam mendapat perhatian sirius tetapi isu merokok dan sampah yang berlonggok tidak mendapat perhatian sewajarnya? Bukanlah Majlis Fatwa Kebangsaan telah menfatwakan merokok itu haram? Kesan mudharat merokok memang sudah lama diketahui. Merokok bukan sahaja membazir wang, ia juga boleh membawa kepada maut kepada perokok dan mereka yang berada di sekitar mereka. Malahan, dari segi urutan kepentingan dalam maqasid syariah, melindungi nyawa itu merupakan keutamaan yang paling penting. Kenapa isu ini tidak menjadi keutamaan, malah tidak disebut langsung oleh ahli-ahli siasah agama? Adakah tindakan MPKB terhadap wanita bukan Islam didorongi keinginan menyelesaikan masalah yang pokok atau sekadar pertunjukkan sampingan menjelang pilihanraya. Semoga pengundi lebih ingat mengenai kafir yang tidak sopan dan lupa mengenai Mercedes yang kini jadi milikan?

Jika orang Islam merasa terguris dan marah dengan tindak-tanduk anti-hijab di Perancis, mereka harus bayangkan perasaan golongan bukan Islam apabila kod pakaian dipaksa ke atas mereka. Kedua-dua, di Perancis dan di Kota Baru, unsur paksaan digunakan untuk menguatkuasa kod pakaian dan menafikan individu hak memilih.  Nilai-nilai akhlak tidak boleh dipupuk melalui paksaan. Ia harus timbul dari kesedaran individu dan kesediaan diri. Jika dalam beragama pun tiada paksaan, haruskah ada paksaan dalam berpakaian, khusus bila ia melibatkan golongan bukan Islam?

Bagi pemimpin politik yang mengibaratkan orang bukan Islam yang tidak berpakaian mengikut kehendak mereka sebagai binatang, mereka harus ingat sikap bengis, garang dan suka memaksa itu juga sikap binatang, khususnya binatang buas. Cerminlah diri sendiri dahulu sebelum mencerca orang lain.

Dan dalam konteks berbagai masalah yang dihadapi di Kelantan, adakah bentuk pakaian bukan Islam masalah yang paling getir? Demikianlah juga di Perancis. Adakah pemakaian hijab di kalangan wanita Islam itu isu yang paling mengancam di sana? Bagaimana pula dengan masalah seperti keganasan polis, pengangguran di kalangan remaja pendatang dan diskriminasi terhadap golongan minoriti? Dalam hal ini, Kelantan dan Perancis sama-sama terpesong. Sudah tiba masanya Kelantan dan Perancis meneliti semula keutamaan-keutamaan mereka.

(Visited 348 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button