Rencana

Tok Mat paling sesuai jadi TPM

DESAS-desus kononnya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sedang mencari calon dari pihak UMNO untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kalaulah Muhyiddin kisah, tidak ada individu yang paling cocok untuk jawatan itu selain Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden UMNO itu tidak pernah dipalitkan dengan apa-apa tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Pihak lawan cuba memalukan beliau dengan tuduhan korupsi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau pada April 2019.

Pada PRK itu Mohamad dituduh memiliki rumah mewah berkonsepkan Minangkabau di Seremban. Dia juga dituduh membeli sebuah apartmen mewah di London.

Ternyata rumah Minangkabau itu bukan milik Mohamad, sementara Peguam Negara yang dilantik oleh Pakatan Harapan mengekalkan keputusan tiada tindakan lanjut No Further Action (NFA) terhadap pembelian apartment tersebut pada Mei 2019.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga jelas sebagai seorang yang mempunyai prinsip yang tidak boleh dijual beli.

Mungkin beliau satu-satunya individu dari parti pemerintah yang menolak jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan sebaik Perikatan Nasional mengambilalih pemerintahan pada bulan Mac lalu.

Beliau ditawarkan jawatan sebagai pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada April.

“Ya, saya tolak jawatan di sebuah GLC. Saya mahu beri tumpuan sepenuhnya pada parti,” kata Mohamad ketika ditanya oleh media.

Terkini beberapa hari lalu ketika khabar angin bertiup kencang kononnya kerajaan akan melaksanakan darurat untuk mengawal Covid-19, Mohamad mengambil pendirian yang jelas untuk mempertahankan demokrasi dan Perlembagaan.

“Saya menyeru agar kerajaan menangani krisis ini dengan fokus, berpelembagaan dan mempergiatkan segala usaha mendidik masyarakat berasaskan sains dan data.

“Pandemik ini hanya akan dapat diatasi dengan pendekatan saintifik, pemulihan ekonomi dan kepatuhan kepada perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan, sebelum Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja sendiri menolak cadangan tersebut beberapa hari kemudian.

Jika Muhyiddin mempunyai timbalan yang cekap dan memandang masa depan, sudah tentu penolakan cadangan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja itu tidak berlaku.

Ini belum lagi mengambil kira projek-projek penuh wawasan untuk rakyat yang mahu dilaksanakan oleh Mohamad di Negeri Sembilan tetapi terbantut kerana rakyat negeri itu menyerahkan pentabiran kepada Pakatan Harapan pada PRU-14.

Tapi cukuplah untuk kita melihat betapa terancangnya pembangunan di Sendayan dan betapa indahnya Masjid Sendayan di kawasan yang dahulunya hanyalah sebuah tanah rancangan.

Jika Muhyiddin mahukan pembantu yang mempunyai wawasan yang jelas, tidak korupsi dan bercakap benar biarpun pahit dan mempunyai sokongan rakyat, Mohamad adalah calon yang paling layak untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.-SM

 

 

 

 

(Visited 223 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button