Nasional

Bas Rapid KL di Kajang dialihkan

Susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa hari ini di Plaza Hentian Kajang, dekat sini, beberapa laluan perkhidmatan bas di bawah kendalian Rapid KL akan dialihkan.

Rapid KL dalam kenyataan semalam menyatakan laluan yang terlibat adalah Rapid KL laluan 450, Bas Smart Selangor bagi laluan KJ01 dan KJ04, serta laluan Bas Perantara MRT T464.

“Bagi perkhidmatan Rapid KL laluan 450 dari Hab Lebuh Pudu, laluan akan berakhir di Stesen MRT Kajang. Para penumpang boleh naik atau turun di Stesen MRT Kajang dan meneruskan perjalanan mereka menggunakan perkhidmatan alternatif.

“Bagi perkhidmatan Smart Selangor laluan KJ01 ke Bandar Kajang dan KJ04 ke Presint 3, Putrajaya, laluan-laluan tersebut akan dialihkan dan memulakan operasi dari Stesen MRT Stadium Kajang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bagi perkhidmatan Bas Perantara MRT laluan T464 dari Teras Jernang ke Stesen MRT Kajang, juga tidak akan melalui Plaza Hentian Kajang.

“Sehubungan itu, Rapid KL ingin mengingatkan para penumpang untuk sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang terbaik, memakai pelitup muka serta mengamalkan kawalan kendiri.

“Dalam memainkan peranan untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 terhadap pelanggan dan kakitangan Rapid Bus, pelbagai langkah-langkah telah diambil menurut prosedur operasi standard seperti disinfeksi dalaman bas setelah tamat perkhidmatan, penjejakan kontak menggunakan kod QR dan saringan kesihatan kapten bas sebelum memulakan tugas,” katanya.

Kerajaan semalam memutuskan untuk melaksanakan PKPD selama 14 hari melibatkan kawasan Flat Sungai Emas dan Plaza Hentian Kajang di Selangor berkuat kuasa hari ini (28 Okt) hingga 10 Nov depan.

(Visited 509 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button