fbpx
Rencana

PRK N.23 Chini: Satu keperluan atau nafsu politik

ulama

Oleh Zainuddin Montok

Al Fatihah buat Allahyarham Dato Sri Abu Bakar Bin Harun Adun Chini anak Chenni. Arwah merupakan cerminan kejayaan peneroka menjadi YB.

Namun peninggalan arwah mengosongkan satu kerusi yang mengikut perlembagaan hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh surat oleh Speaker. Inilah tuntutan demokrasi.

Adakah PRK itu wajib? Ya.
Namun adakah wajib bertanding dalam PRK? Tidak.
Selaras dengan Fasal 1 ( 5 ) Perkara 26, Bahagian 2 Undang-Undang Tubuh Negeri Pahang: Kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam masa enam puluh hari dari iarikh kekosongan itu dipastikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Tanggungjawab SPR adalah melaksanakan PRK namun bukanlah kewajipan untuk mana-mana parti meletakkan calon.


Mengambil iktibar PRK Chempaka 2015 apabila TG Nik Aziz meninggal. Barisan Nasional tidak meletakkan calon atas dasar “kita perlu tumpukan usaha rapatkan perpaduan dan elakkan perbalahan dalam usaha pulihkan keadaan pasca banjir”.

Insiden PRK Chempaka adalah manifestasi keinginan rakyat mengatasi nafsu politik dan precedent atau tindakan berjiwa besar itu seeloknya diteruskan di saat Covid-19 ini.

PRK saat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ( PKPB ) hanyalah memberi mudarat yang amat buruk kepada negara. Setiap penamaan calon akan menarik 10 ribu penyokong parti. 14 hari tempoh kempen akan membawa 3000 pelawat politik setiap hari dalam lawatan rumah ke rumah ataupun datang mendengar ceramah.

Adalah kita bersedia mendengar kluster baharu iaitu kluster Chini atau Kluster PRK?
Adakah kita bersedia berkempen dalam keadaan tidak mengetahui siapa pembawa Covid atau positif Covid? Mencegah lebih baik dari mengubat.

Konsep ini bersesuaian dengan saranan Nabi SAW.

إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا

Artinya: “Jika kamu mendengar wabak di suatu wilayah, maka janganlah kalian memasukinya. Tapi jika terjadi wabak di tempat kamu berada, maka jangan tinggalkan tempat itu.” (HR Bukhari)

PRK saat wabak juga adalah amat mahal berbanding keadaan biasa. PRK Dun kebiasaanya sebanyak RM 6-7 juta wang SPR dan parti politik yang dihabiskan. Akan tetapi tika Covid akan melambung kepada RM 10-12 juta. Penyediaan SOP penjarakkan sosial, saringan suhu skala besar secara kamera inframerah dan proses sanitasi Pusat mengundi hanya akan menambahkan kos.

Adalah lebih baik wang ini digunakan membantu ekonomi rakyat dan melawan Covid.

Ekonomi negara menguncup saat krisis dan pengeluaran wang sekadar memenuhi nafsu politik individu hanyalah mudarat besar kepada negara. Seeloknya fokus jentera kerajaan secara menyeluruh untuk melawan Covid dan perkasa ekonomi. Perut rakyat lebih penting dari kertas undi dalam kotak.

Adakah kita menghalang demokrasi? Tidak.
Proses demokrasi sudahpun berjalan. Cuma pada situasi sebegini, apa yang dicadang adalah agar pihak atau parti lain tidak meletakkan calon, dan memberi laluan kepada parti yang telah memenangi kerusi tersebut pada PRU 14 (BN) untuk terus menyambung memberi khidmat, dan menang tanpa bertanding. Cukup sekadar Mesyuarat SPR mengumumkan tarikh PRK dan kemudian penamaan Calon lalu terus umum menang tanpa bertanding.

Parti politik lain juga harus muhasabah kekuatan di Chini. Arwah Datuk Seri Abu Bakar menang PRU 14 dengan majoriti 4622 dan calon PKR hilang deposit. Undi Muafakat Nasional ( BN + PAS ) adalah 15423 undi berbanding 1065 undi milik PKR. Hormatilah jasa bakti arwah dan beri laluan tika Covid ini. Lawan dan rebutlah semula kerusi Dun Chini ini PRU 15 nanti.

Politik seharusnya meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan parti atau individu. Jangan memgambil kesempatan dalam kesempitan.

Belajarlah integriti dari kisah ulung McCain lawan Obama tahun 2008, apabila McCain mempertahankan lawannya Obama yang dituduh sebagai Arab dengan menjawab “Obama adalah warga Amerika dan ketua keluarga yang baik. Saya berbeza pandangan dalam isu negara dan menghormatinya”. Sekiranya Mc Cain mengiyakan serta menyerang Obama sebagai Arab, maka tidak tercatat Presiden US seorang kulit gelap. Jadikan iktibar wahai politikus.

Cukuplah beretorik menggunakan PRK sebagai kayu ukuran. Jika mahu dijadikan mesej penolakan terhadap kerajaan pun tidak boleh kerana BN hanyalah sebahagian dari kerajaan. Begitu juga mesej penerimaan terhadap kerajaan kerana kerusi Chini milik UMNO dan Perdana Menteri adalah dari PPBM.

Parti atau individu yang bertanding melawan BN sebagai penyandang di PRK Chini hanyalah menjadi bukti akan kerakusan nafsu politik. Mengabaikan keselamatan rakyat serta menelan kos operasi pilihanraya demi sedikit hipokrasi politik hendaklah ditolak rakyat!! – SM

Show More

Related Articles

Back to top button