Nasional

Bekalan air di 46 kawasan pulih sepenuhnya – Air Selangor

Sejumlah 46 dari 274 kawasan telah menerima bekalan air sepenuhnya dengan peratusan pemulihan pada tahap 17 peratus sehingga 6 pagi ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elena Basri berkata baki 228 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

“Wilayah Kuala Langat mencatat pemulihan sebanyak 55 peratus manakala Petaling dengan 37 peratus namun Hulu Langat dan Sepang/Putrajaya masih belum dapat dipulihkan.

“Pengguna dinasihat supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata Air Selangor sedang giat berusaha menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan yang terjejas.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang/Putrajaya mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Ahad lepas apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah.

Pengguna di kawasan yang terjejas disaran merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com, untuk mendapatkan maklumat lanjut.- BERNAMA

(Visited 130 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button