Politik

Hadi sendiri suruh jaga hubungan dengan UMNO

SEORANG pemimpin PAS membidas beberapa individu dalam parti itu yang membuat tuduhan kononnya pendekatan mengeratkan hubungan kerjasama Muafakat Nasional (MN) bersama Umno dan Perikatan Nasional (PN) dengan Bersatu sebagai melanggar arahan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahli Jawatankuasa Kerja Ulama PAS Pusat, Mokhtar Senik berkata, beliau hairan bagaimana pemimpin tertentu dalam PAS boleh membuat tuduhan kononnya usaha mengekalkan kerjasama dengan UMNO, Bersatu melalui MN dan PN sebagai melanggar presiden sedangkan Hadi sendiri menegaskan perlunya mengekalkan kerjasama termasuk dengan UMNO.

Katanya, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin juga turut menegaskan perkara sama apabila menasihati ahli supaya menjaga hubungan dengan MN.

“Berkali-kali saya menulis tentang pentingnya menjaga hubungan PAS-Umno (MN) Khususnya. Tiba-tiba ada beberapa orang kalangan pimpinan PAS yang kata tulisan saya yang cenderung kepada menjaga MN itu bersifat “melanggar” jamaah dan Presiden.

“Sabtu lepas dalam perjumpaan Dewan Ulama dengan presiden, sekali lagi presiden (Hadi) menegaskan hubungan PAS UMNO mesti diteruskan.


“Saya semakin hairan. Kumpulan yang sebelum ini mengatakan pendekatan mengeratkan hubungan PN dan MN itu sebagai pendekatan ‘langgar’ presiden itu kumpulan mana sebenarnya?

“Jangan bersilat belakang presiden. Asalkan siapa sahaja tak setuju dengan kamu lalu dianggap orang itu langgar presiden,” katanya di Facebook.

Beliau turut memuji tindakan PAS, UMNO dan Bersatu Pulau Pinang terus kekalkan hubungan apabila bersama dalam melakukan perbincangan bersama baru-baru ini dan ia perlu dicontohi semua pimpinan parti.

Beliau juga memberi bayangan insiden penyingkiran beramai-ramai dalam parti itu pada 2015 boleh berulang sekali lagi.

Mokhtar berkata, sikap ahli parti yang “bersilat di belakang presiden” dan tidak ikhlas akan menyebabkan seseorang itu tidak akan selamat.

Tanpa menyebut atau memberikan gambaran secara jelas pihak yang dimaksudkannya itu, ulama PAS terbabit berkata, sikap berkenaan menunjukkan mereka membawa kepentingan sendiri.

“Ingat, tindakan kamu itu tidak selamat. Bila ahli tahu beza pendekatan kamu yang berkepentingan dengan pendirian sebenar presiden yang ikhlas untuk jemaah, kamu pasti akan ditendang keluar dari jamaah sebagaimana muktamar 2015,” katanya. – FMT –  SM

(Visited 113 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button