Politik

Mahdzir Khalid umum pertahan jawatan Naib Presiden UMNO

DATUK Seri Mahdzir Khalid hari ini mengumumkan akan menawarkan diri untuk bertanding dan mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO untuk penggal kedua.

Menurutnya, beliau akan membawa Gagasan Kebersamaan Demi Perjuangan dalam pemilihan kali ini demi mengembalikan semula semangat perjuangan parti.

“Ketika UMNO berada dalam situasi yang mencabar, saya mengambil pendirian untuk meneruskan perjuangan dan khidmat bakti untuk parti ini dan menawarkan diri bersama-sama saf kepimpinan tertinggi Presiden dan Timbalan Presiden, berbekalkan pengalaman luas saya dalam politik dan pentadbiran di peringkat Negeri dan Persekutuan.

“Apa sekalipun, UMNO perlu kembali dinamik dan progresif untuk memyemarakkan semula sokongan rakyat khususnya daripada golongan muda,” katanya dalam sidang media di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur hari ini.

Mahdzir berkata, melalui sifat ‘Satu Hati’, keyakinan ahli-ahli UMNO terhadap pucuk pimpinan tertinggi parti juga perlu dikembalikan.

“Perpecahan dalam kalangan pemimpin parti perlu diredakan dan dikurangkan, baik waktu pemilihan atau selepas pemilihan. Lebih-lebih lagi, kita akan berhadapan dengan PRN di enam negeri, dan PRU-16 kelak.

“Meskipun ia akan berlaku lama lagi, tetapi parti perlu bersedia dari sekarang dengan melakukan anjakan paradigma yang tuntas,” katanya.

Tambahnya, UMNO juga perlu menerapkan Kesatuan Fikiran atau Wahdatul Fikr bagi menjadi teras utama kepada usaha dalam membina semula parti itu.

“Gerak kerja kita harus didasari kesatuan matlamat, kesatuan ideologi dan kesatuan niat. UMNO saya ambil pegangan dengan perasaan ‘Haqqul Yaqin’ bahawa parti ini perlu terus menjadi parti naungan dan tunjang bagi orang-orang Melayu.

“UMNO perlu menjuarai kembali Politik Islam dengan mengambil kira pengaruh Perikatan Nasional terutama sekali PAS,” katanya.

Beliau berharap dapat memperoleh kepercayaan ahli-ahli UMNO agar terus diberikan khidmat sebagai Naib Presiden UMNO untuk kali kedua.

Selain Mahdzir, seorang lagi Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengesahkan mempertahan jawatan.

Seorang lagi penyandang iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga kini masih belum menyatakan pendirian sehingga kini.

Artikel berkaitan > Zaid Ibrahim tanding MKT UMNO

(Visited 268 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button