Politik

Sokong Belanjawan 2021 bukti kematangan ahli Parlimen, kata PM

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin menyifatkan sokongan majoriti terhadap Belanjawan 201 membuktikan kematangan ahli-ahli Parlimen dalam membuat keputusan penting.

Katanya, ahli Parlimen telah meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan mendahului perkara-perkara lain.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Belanjawan 2021 telah pun diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli Parlimen terutamanya Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang telah menyokong Belanjawan 2021 sehingga diluluskan di peringkat dasar,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin turut tersentuh dengan dengan pendirian ahli-ahli Parlimen yang menyokong Belanjawan 2021 sekaligus membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Al-Sultan Abdullah sebelum ini bertitah mahu ahli-ahli politik mengetepikan sementara politiking bagi membolehkan Belanjawan 2021 diluluskan tanpa gangguan lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang bergelut dengan ancaman Covid-19.

“Saya juga ucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan dan Kementerian Kewangan yang telah bertungkus-lumus menyiapkan penggulungan Belanjawan 2021 dengan beberapa penambahbaikan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Penambahbaikan ini telah mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk ahli-ahli Parlimen yang mengambil bahagian ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 ini dijalankan,” kata Muhyiddin.

Menurut Muhyiddin, Belanjawan 2021 adalah belanjawan terbesar dan sangat penting kepada negara dan sokongan ahli Parlimen membolehkan kerajaan melaksanakan segala perancangan perbelanjaan untuk tahun hadapan dengan teratur dan lancar.

Belanjawan itu juga membuktikan Kerajaan PN amat prihatin mendengar keluh-kesah rakyat dan amat responsif terhadap pandangan pelbagai pihak dalam membantu rakyat memulih serta menjana semula ekonomi negara yang terkesan teruk akibat pandemik Covid- 19.

“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan PN adalah sebuah kerajaan yang sentiasa bersikap terbuka dalam menerima sebarang pandangan, teguran dan kritikan.

“Semoga Belanjawan 2021 ini akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk mensejahterakan kehidupan rakyat dan negara,” kata Muhyiddin.

Belanjawan 2021 dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu dan seramai 82 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang berlangsung dari 9 hingga 19 November.

Pengundian hari ini adalah langkah pertama yang perlu dilalui belanjawan kerajaan Perikatan Nasional.

Selepas ini ia akan dibawa ke peringkat jawatankuasa untuk dibahaskan yang akan bermula Isnin 30 November untuk diundi sekali lagi sebelum diluluskan.-SM

(Visited 127 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button