Politik

Malaysia dan rakyat wajar dapat kewibawaan lebih baik daripada pemerintah – Tok Mat

Tindakan kerajaan meminda Ordinan Darurat untuk memberikan kuasa kepada kerajaan menambah perbelanjaan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri adalah sangat membimbangkan.

Menurut Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, darurat tidak boleh mengenepikan akauntabiliti dan ketelusan dalam apa juga keadaan sekalipun.

“Keabsahan tindakan pindaan Ordinan tersebut tidak semestinya memberikan ia legitimasi moral.

“Sesuatu yang sah dalam darurat mestilah juga sesuatu yang dipandu dan diputuskan dengan nilai, moral dan prinsip.

“Apa lagi bila ia melibatkan perbelanjaan dana awam. Tiada keadaan walau serumit dan sesukar mana sekalipun, wajar melepaskan kerajaan dari ‘rigorous scrutiny’ dalam membelanjakan wang rakyat dan hasil negara,” ujar Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu, kerajaan di negara ini masih lagi adalah kerajaan awam dan bukannya sebuah kerajaan junta tentera.

“Maka bertindaklah dengan norma dan tatakelola yang sesuai dengan sifat sebuah kerajaan awam.

“Malah semasa dalam kedudukan daruratlah, kerajaan mesti lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam membelanjakan hasil negara kerana kelumpuhan mekanisme semak dan imbang serta perlembagaan yang tidak berfungsi,” katanya.

Jelasnya juga, perdana menteri mesti dengan segera melakukan perkara yang betul dan sewajarnya untuk negara ini dan kepentingan demokrasi Malaysia.

“Malaysia dan rakyatnya wajar mendapat kewibawaan yang lebih baik dari pemerintah,” tambahnya.

(Visited 153 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button