Politik

GPS ucap tahniah kepada Muhyiddin, isytihar bukan sebahagian Perikatan Nasional

KUCHING, 29 Feb — Gabungan Parti Sarawak (GPS) merakamkan ucapan tahniah kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan tetapi menyatakan GPS bukan sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional yang diterajui Muhyiddin.

Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam kenyataan malam ini berkata sokongan diberikan gabungan berpangkalan di Sarawak itu terhadap Muhyiddin adalah demi kepentingan negara dan untuk menyelamatkan Malaysia daripada ketidakstabilan politik tanpa mengorbankan kepentingan Sarawak.

“Pada peringkat ini GPS akan hanya menjadi parti politik yang mesra kepada Perikatan Nasional,” kata Abang Johari, yang juga Ketua Menteri Sarawak.

Terdahulu hari ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menerusi kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan

Pelantikan itu berikutan Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri ketujuh pada Isnin  (24 Feb) dan beberapa jam kemudian Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri interim.


— BERNAMA

(Visited 37 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button