Politik

Ketua Menteri: Undur selangkah bukan bererti kalah – Bung Mokhar

KETUA UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Raden meminta maaf kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana gagal menjadi Ketua Menteri Sabah.

Beliau berkata, UMNO sukar untuk menuntut jawatan tersebut dengan jumlah kerusi yang dimenangi UMNO pada Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Saya juga memohon maaf kepada Datuk Seri Presiden kerana hasrat dan cita-cita beliau dan rakan-rakan yang berkehendakkan saya atau wakil daripada UMNO Sabah menjadi Ketua Menteri, tidak kesampaian.

“Jawatan Ketua Menteri memang menjadi harapan UMNO Sabah tetapi kami menyedari dan menginsafi dengan hanya memenangi 14 kerusi sahaja, sukar kepada UMNO Sabah untuk menuntut jawatan tersebut,” kata Bung Moktar dalam satu kenyataan.

Bung Mohtar yang mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah semalam turut meminta pihak yang masih bersandiwara menyalahkan pemimpin tertentu dalam hal dan urusan Sabah agar menghentikan tindakan tersebut.

Katanya, perbuatan berkenaan yang penuh dengan agenda peribadi hanya  akan merugikan UMNO

“Berlaku adillah jangan rugikan parti dengan agenda peribadi. Kita jernihkan keadaan bukan mengeruhkan lagi kedukaan kita dengan keputusan PRN baru- baru ini.

“Duka dan pedihnya, UMNO Sabah yang merasainya, ‘kita undur selangkah ke belakang bukan bererti kalah, tetapi kita bersedia untuk melangkah jauh lagi ke hadapan’,” kata Bung Moktar.

Ketua UMNO Sabah itu akan melakukan post mortem untuk mencari sebab-musabab dan punca beberapa kerusi yang ditandingi BN mengalami kekalahan.

UMNO Sabah juga akan membuat penambahbaikan demi memastikan BN dapat merampas semula kerusi-kerusi yang kalah pada PRN akan datang.

“Saya amat bersyukur, walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan ditambahi pula dengan tentangan daripada pelbagai pihak, BN masih mampu memenangi 14 daripada 32 kerusi yang kita bertanding. Alhamdulillah daripada 14 kerusi yang kita menangi, 70 peratus daripadanya muka-muka baru.

“Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Ketua Wanita, Pemuda, Puteri, MT dan negeri-negeri yang turun membantu kami di PRN Sabah.

“Saya amat terhutang budi kepada seluruh jentera Barisan Nasional dan Allah saja dapat membalas jasa dan budi sekalian,” kata Bung Moktar.-SM

 

(Visited 198 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button