Politik

‘Gertakan’ Anwar buka jalan penyatuan Pejuang, UMNO, Pas, Bersatu

SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional Tan Sri Annuar Musa tidak menolak kemungkinan untuk penyatuan parti-parti mewakili orang Melayu dan Islam iaitu UMNO, Pas, Bersatu dan Pejuang.

Annuar berkata, ‘gertakan’ yang dibuat oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh membuka penyatuan kepada parti-parti tersebut.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan itu, kesemua pemimpin dalam parti terbabit perlu mengetepikan keegoan masing-masing. Sebaliknya mereka perlu mengutamakan kepentingan Abata iaitu agama, bangsa dan tanah air.

“Dengan gertakan DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mungkinkah ia membuka jalan kepada penyatuan yang lebih besar antara UMNO, Pas, Bersatu dan Pejuang dan lain lain parti sahabat menuju Pilihan Raya Umum ke-15?.

“Pandang ke hadapan. Lihat semula pada asas perjuangan. Ketepikan sentimen. Kebumi ego. Letakkan kepentingan Abata di depan,” kata Annuar.


Anwar tiga hari lalu mendakwa beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Menurutnya, sokongan ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kerajaan sedia ada, namun enggan mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ,beliau sudah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah namun ditangguhkan kerana baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Alhamdulillah. Kini saya mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen untuk saya persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan ingin saya nyatakan, majoriti yang menyokong juga adalah dalam kalangan Melayu dan Islam.

“Secara konklusifnya, (jumlah majoriti) kuat dan kukuh. Saya tidak bercakap mengenai empat, lima, enam (Ahli Parlimen) tapi lebih daripada itu.

Malam tadi, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu tidak menerima pelawaan untuk menyertai kerajaan pimpinan Anwar.

Bercakap kepada wartawan, Mukhirz menegaskan parti itu tidak akan terhegeh-hegeh untuk menyokong kerajaan baru pimpinan Anwar.

“Mungkin jumlah 18 (kerusi Parlimen) itu dianggap kecil apabila Anwar menyebut kumpulan Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak termasuk dalam jumlah sokongan yang beliau ada.

“Takkan kami pula nak terhegeh-hegeh tawar 18 kerusi yang ada sedangkan orang itu (Anwar) pun macam tak sudi,” katanya.-SM

(Visited 39 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button