Jenayah

Geng Nicky, lagi 12 pegawai kanan polis, SPRM ditangkap

KUMPULAN jenayah terancang ‘Geng Nicky’ terus digempur dengan terbaharu 12 pegawai kanan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dipercayai menjadi tali barut telah ditangkap dalam beberapa siri serbuan

Kesemua suspek ditahan dalam fasa dua Ops Pelican 3.0 yang dilakukan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan bermula 21 April hingga pagi ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek berusia antara 36 hingga 49 tahun itu ditahan dalam operasi yang dilakukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Menurutnya, dua suspek yang bertugas di Bukit Aman ditahan melibatkan seorang superintendan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah dan seorang inspektor yang bertugas di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

“Empat pegawai dari kontinjen Selangor turut ditahan melibatkan seorang pegawai berpangkat deputi superintendan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, seorang pegawai cawangan khas berpangkat asisten superintendan dan dua inspektor yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah dan ketua polis balai.


“Tangkapan di kontinjen Melaka pula melibatkan seorang pegawai berpangkat deputi superintendan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah,” kata Ayob Khan dalam sidang akhbar hari ini.

Sementara dua pegawai berpangkat asisten superintendan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Jabatan Siasatan Jenayah dari kontinjen Kuala Lumpur dan seorang inspektor yang bertugas di Pulapol Air Hitam di kontinjen Negeri Sembilan turut ditahan dalam operasi berkenaan.

Dua orang pegawai SPRM yang berpangkat penolong pesuruhjaya dan penguasa juga ditahan untuk membantu siasatan.

Tangkapan itu menjadikan jumlah tangkapan keseluruhan membabitkan kes ‘Geng Nicky’ kini berjumlah 64 orang.

Kesemua suspek kini direman selama 28 hari dan akan disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan hingga Seksyen 130ZB Kanun Keseksaan Bab VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).-SM

 

 

 

(Visited 108 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button