Mahkamah

SPRM gagal lucut hak RM700,000 milik UMNO Pekan

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)   untuk melucutkan dana bernilai RM700,000 yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dari Umno Pekan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh membuat keputusan itu selepas mendapati pemohon iaitu SPRM tidak berjaya membuktikan jumlah wang itu dalam akaun UMNO Pekan selaku responden pertama di bawah Seksyen 56.

Seksyen 56 ialah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Prosiding melucut hak memerlukan kepatuhan yang ketat terhadap undang-undang kerana menyentuh jaminan perlembagaan mengikut Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu dalam situasi ini, saya menolak permohonan tersebut,” katanya.

Ahmad Shahrir juga berkata kesemua responden menyatakan jumlah RM700,000 telah digunakan untuk perbelanjaan utiliti, pembelian peralatan dan pembayaran lain untuk responden pertama dan baki dalam akaun responden pertama tidak berasal daripada akaun Najib yang dibekukan.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta untuk mendapatkan kembali RM700,000 dari UMNO Pekan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini telah membuat permohonan lucut harta terhadap 41 responden di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Pada 3 Julai lalu Mahkamah Rayuan Putrajaya menolak permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan RM192 juta wang Umno yang dibekukan oleh badan anti-rasuah itu dalam siasatan ke atas 1MDB.

Mahkamah juga menolak permohonan SPRM untuk menahan RM2 juta wang Wanita MCA, Binsabi Sdn Bhd dan Perano Sdn Bhd.-SM

 

 

(Visited 188 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button