fbpx
Jenayah

Tiga anggota trafik Johor ditahan disyaki terlibat pemerasan

TIGA anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Johor ditahan selepas disyaki terlibat pemerasan ke atas seorang pemandu lori perdagangan ketika melakukan sekatan jalan raya, awal bulan lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketiga-tiga anggota berpangkat koperal berumur antara 32 dan 39 tahun itu ditahan pada 4 Jun lalu selepas polis menerima laporan yang dibuat pemandu lori tersebut.

“Ketiga-tiga mereka kini disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ayob Khan berkata, ketiga-tiga anggota lelaki terbabit didakwa melakukan pemerasan ketika memeriksa lori perdagangan itu yang membawa muatan berlebihan dan kemudian meminta wang sebanyak RM4,000 daripada pemandu.

Beliau berkata, polis Johor tidak akan bertolak ansur terhadap pegawai atau anggota polis yang terlibat atau bersekongkol dalam aktiviti jenayah atau rasuah, dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang atau diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.


“Kebiasaannya mungkin kita (polis) hanya menyerahkan (kes sebegini) kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk siasatan tetapi saya minta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor untuk membuka kertas siasatan atas kesalahan pemerasan. Saya mahu mereka dituduh di mahkamah kalau mempunyai cukup bukti, tiada lagi siasatan dalaman,” katanya. – BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button