Ekonomi

Gading Kencana kongsi kepakaran tenaga solar dengan pensyarah politeknik

SYARIKAT ladang solar berskala besar Gading Kencana Sdn Bhd akan berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang solar bersama pensyarah Politeknik Sultan Azlah Shah (PSAS) Perak.

Melalui kerjasama strategik itu, Gading Kencana menawarkan tempat latihan kepada pensyarah PSAS untuk mempelajari dan melihat sendiri teknologi solar yang dimiliki syarikat tersebut.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Gading Kencana Datin Hasnah Awang berkata, latihan kepada pensyarah terbabit meliputi bidang penyelidikan dan pembangunan, penyelengaraan dan rekabentuk.

“Tiga bidang ini diperlukan oleh politeknik. Dan tiga bidang ini jugalah dapat kami tawarkan kepada politeknik dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.

“Kita akan melatih pensyarah dahulu. Supaya pensyarah ini bila mengajar pelajar dia sudah ada pengalaman sebenar di syarikat dan ladang tenaga solar,” kata Hasnah.

Datin Hasnah Awang terima plak penghargaan daripada Muhammad Zubir Mohd. Hanafiah

Gading Kencana antara 19 syarikat yang menandatangani perjanjian kerjasama dengan PSAS pada Selasa. PSAS diwakili Pengarahnya, Muhammad Zubir Mohd. Hanafiah.

Gading Kencana memiliki ladang solar berskala besar di Bidor, Perak berkapasiti 30 megawatt (MW) dan Melaka berkapasiti 11.5 juta kilowatt (kW).

Syarikat itu juga akan membina ladang solar ketiga berkapasiti 30 megawalt di Bidor awal tahun depan.

Jelas Hasnah, pensyarah yang terpilih turut didedahkan dengan teknologi robotik yang digunakan dalam ladang solar.

“Ladang solar kami di Bidor adalah yang pertama menggunakan sistem robotik untuk pencucian dan penjagaan solar panel.

“Mereka juga akan didedahkan mengenai teknologi, peralatan dan bagaimana menaik taraf solar panel untuk  lebih efisyen dan inverter lebih tahan lama.

“Sebab kita akan mulakan projek solar ketiga lebih kurang Januari tahun depan. Jadi memang tepat mereka masuk pada masa itu,” kata Hasnah.

Pengarah Urusan Kumpulan Gading Kencana, Datuk Ir. Guntor Tobeng pula berharap perjanjian yang ditandatangi akan memberi manfaat kedua-dua pihak.

Beliau percaya politeknik mempunyai bakat-bakat yang terpendam.

Jelas Guntor, Gading Kencana juga akan membuka peluang kepada politeknik untuk mengkomersialkan hasil kajian yang telah mereka lakukan.

“Sekiranya program ini berjaya kita boleh membuka gerbang dunia sebagai platform fasiliti penyelengaraan dan operasi ladang solar menggunakan kemudahan dan makmal yang ada di sini.

“Saya cukup yakin apparatus yang ada dalam makmal di politeknik di Malaysia semuanya berstatus dunia. Jadi kita hendak menggunakan sumber yang ada untuk manafaatnya dan kita mahu komersialkan dan buka pasaran dunia kepada bakat yang ada disini,” kata Guntur.

Menurutnya, pihak Gading Kencana juga mempunyai sumber kewangan untuk menyumbang dana kepada program penyelidikan dan pembangunan yang dilaksanakan oleh politeknik.

Muhammad Zubir Mohd. Hanafiah.

Sementara Muhammad Zubir gembira kerana Gading Kencana membuka peluang untuk berkerjasama dengan Politeknik Sultan Azlan Syah.

“Syarikat ini tidak pernah ketinggalan walau dalam keadaan apapun mengambil pelajar politeknik untuk menjalani latihan.

“Yang paling penting sekali kurikulum politeknik adalah kurikulum industri. Kalau ijazah kita ada satu tahun latihan di industri, kalau pelajar diploma kita ada 6 bulan. Kurikulum kita juga telah digubal bersama industri. Jadi sebab itu pelajar kita adalah yang bersedia untuk bekerja,” katanya.

Tahun lalu PSAS telah melahirkan seramai 1,311 graduan ijazah dan diploma.

Daripada laporan kaji selidik, kadar kebolehpasaran graduan PSAS pada tahun 2019 adalah 99.4 peratus. Sebanyak 81.2 peratus telah mendapat pekerjaan dengan 60.6 peratus bekerja dalam bidang dan 39.4 peratus bekerja di luar bidang.-SM

(Visited 682 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button