Ekonomi

Maxis catat prestasi kukuh pada suku pertama

MAXIS Bhd (Maxis) mencatatkan prestasi kukuh pada suku pertama berakhir 31 Mac,2020 walaupun berdepan cabaran, didorong oleh perniagaan mudah alih yang kukuh dan pertumbuhan konvergen yang mantap.

Menurut Maxis, keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) adalah stabil walaupun prestasi teras sedikit terkesan daripada impak awal COVID-19, di samping mengekalkan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) yang kukuh.

EBITDA dinormalisasi kekal kukuh pada RM920 juta, iaitu 3.5 peratus lebih rendah berbanding RM953 juta pada suku pertama 2019 manakala PAT dinormalisasi untuk suku ini adalah 10.9 peratus lebih rendah sebanyak RM360 juta berbanding RM404 juta pada suku pertama 2019.

“Penurunan ini terutamanya disebabkan oleh kerugian perniagaan borong dan kemerosotan nilai yang lebih tinggi kepada penghutang setelah syarikat menyemak semula jangkaan kadar kerugian susulan COVID-19 dan kesannya kepada ekonomi seluruh dunia yang menyebabkan peningkatan risiko kredit yang ketara,” menurut Maxis dalam kenyataan hari ini.

Maxis turut mengumumkan dividen interim pertama sebanyak empat sen bersih sesaham untuk suku tersebut yang mewakili nisbah pembayaran dividen sebanyak 87 peratus.

“Kami mengambil pendekatan berhemah untuk memastikan terus mampu mengembangkan perniagaan bersesuaian dengan strategi konvergen dan melabur dalam rangkaian bagi memenuhi permintaan yang melonjak,” menurutnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Gökhan Ogut berkata ia mencatatkan keputusan keseluruhan suku pertama yang baik walaupun dilanda kesan awal daripada COVID-19.

“Mengenai masa depan, kami menjangkakan situasi COVID-19 akan meningkat dan kami akan terus menilai kesannya kepada operasi kami.

“Maxis mempunyai fundamental yang kukuh untuk menangani masa yang mencabar ini dengan rancangan Pelan Kesinambungan Perniagaan yang berkembang baik, malah telah dilaksanakan selama beberapa tahun,” katanya.

Sepanjang suku ini, segmen mudah alih terus berdaya tahan dengan pertumbuhan positif pelanggan pascabayar yang mencerminkan peningkatan penggunaan digital dan kejayaan migrasi pelanggan prabayar ke pascabayar.

Langganan pascabayar meningkat 13.7 peratus tahun ke tahun, menjadikan jumlah langganan 3.4 juta, yang menyediakan asas lebih besar untuk purata pendapatan setiap pengguna yang berdaya tahan.

Untuk segmen fiber, Maxis menyaksikan pertumbuhan langganan yang baik daripada keluarga dan perniagaan kecil berikutan sambungan fiber meningkat 40 peratus tahun ke tahun dengan mencatat 392,000 sambungan.

Berdasarkan Laporan Prestasi Rangkaian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 2019 baru-baru ini, Maxis telah mengekalkan kedudukan cemerlang dalam semua kriteria sebagai peneraju di antara semua penyedia perkhidmatan selama empat tahun berturut-turut.

“Dalam menghadapi wabak COVID-19, Maxis kekal fokus untuk menyokong kerajaan dan pelanggannya di samping terus memastikan rangkaiannya berjalan lancar bagi memenuhi permintaan ketika tempoh yang mencabar ini,” katanya. – BERNAMA

(Visited 135 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button