Ekonomi

Langkah proaktif sedang diambil untuk menstabilkan harga ayam, telur, kata menteri

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hari ini menjelaskan bahawa ia telah mengambil langkah proaktif untuk mengelak harga ayam dan telur melambung tinggi.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata antara langkah itu ialah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (MFMPS) yang dilanjutkan 4 Feb.

“Skim itu dijadualkan berakhir pada 31 Dis, 2021, bagaimanapun, ia dilanjutkan selama 35 hari sehingga 4 Feb.

“Harga siling ayam ditetapkan pada RM6.10 sekilogram di peringkat ladang, RM7.80 di peringkat borong dan RM9.10 di peringkat runcit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Langkah lain ialah mengimport 10,000 tan metrik (5.5 juta) ayam sejuk beku setiap bulan.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) kini sedang mengusahakannya. Ini bagi memastikan bekalan mencukupi di pasaran yang akan mewujudkan persaingan sihat untuk mengawal dan mengimbangi harga ayam di negara ini.”

Katanya, langkah ketiga ialah memberi pinjaman mudah kepada penternak ayam.

“Kerajaan sebelum ini mengumumkan peruntukan RM262 juta untuk membantu petani terjejas selepas harga baja dan racun serangga dilaporkan meningkat,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Nanta menjelaskan RM200 juta daripada RM262 juta itu akan disediakan sebagai moratorium pinjaman agro makanan selama enam bulan tanpa faedah melalui Agrobank dan Tekun Nasional.

“Ini dapat membantu penternak menyerap kos operasi yang tinggi dan pada masa sama mengawal lonjakan harga ayam,” tambahnya.

Beliau berkata isu lonjakan harga ayam akibat kos operasi yang terjejas oleh pasaran global adalah mencabar dan memerlukan kerjasama antara kementerian dan agensi.

“Apapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan terus memantau harga dari semasa ke semasa dan memastikan tindakan sewajarnya akan diambil demi kebaikan pengguna dan peniaga,” katanya.

Kenyataan Nanta itu menyusuli kenyataannya sebelum ini di mana beliau berkata harga ayam dan telur berkemungkinan meningkat selepas MFMPS berakhir pada 4 Feb.

Tambah menteri, perbincangan antara Mafi, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Kewangan, Agrobank dan Gabungan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia yang berlangsung Khamis lalu menyentuh faktor yang menyebabkan kenaikan harga ayam di Malaysia.

“Antara faktornya ialah harga makanan ayam yang lebih tinggi di pasaran global dan pengurangan pekerja asing dalam sektor itu.

“Kami dimaklumkan bahawa MFMPS telah membebankan petani yang terpaksa menyerap kos operasi yang lebih tinggi.

“Sekiranya skim itu diteruskan, ia akan menjejaskan pengeluaran ayam dan telur, yang menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran, yang turut menyebabkan lonjakan harga barangan tersebut.

“Inilah realiti yang pasti berlaku. Jika tanpa campur tangan kerajaan, harga ayam dan telur akan naik lebih tinggi lagi,” jelasnya.

 

(Visited 187 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button