fbpx
Bola SepakSukan

Frank Bernhardt diumum jurulatih baharu UiTM FC

BEKAS jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Bawah 23 (B23), Frank Bernhardt diumum sebagai ketua jurulatih baharu pasukan UiTM FC bagi mengharungi saingan Liga Super musim ini yang bakal bermula 28 Feb depan.

Presiden UiTM FC Prof Dr Azizan Abdullah berkata jurulatih dari Jerman itu menandatangani kontrak bersama skuad The Lion Troops selama satu musim.

“Frank Bernhardt sememangnya mempunyai pengalaman yang luas (dalam liga bola sepak Malaysia) dan saya percaya pengalaman itu membantu meningkatkan prestasi pasukan yang kebanyakannya dibarisi pemain muda universiti seterusnya memacu pasukan sepanjang musim ini.

“Apabila pasukan UiTM FC naik ke Liga Super (bagi musim 2020), kami bakal bersaing dengan pasukan yang lebih hebat. Jadi, sasaran kita kali ini adalah untuk berada dalam kelompok lapan terbaik dan mampu merebut Piala Malaysia,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pusat Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) merangkap pengurus pasukan UiTM FC Mustazah Ahmad.


Sementara itu, Frank gembira kerana dapat kembali ke Malaysia dan menggalas tugas sebagai jurulatih baharu UiTM FC.

“Saya telah bersama pasukan (UiTM FC) selama tiga minggu dan buat masa ini ada 50 pemain… masih ada muka lama, namun ada yang telah meninggalkan pasukan ini. Saya masih dalam proses mengenal pemain sebelum memperkenalkan mereka cara latihan baharu.

“Senarai pemain tempatan dan import akan dimuktamadkan pada pertengahan bulan ini, segala kelemahan sebelum ini akan diperbaiki untuk untuk memastikan UiTM FC dalam kelompok terbaik Liga Super musim ini,” katanya.

UiTM FC melakar sejarah liga bola sepak negara apabila menjadi pasukan institusi pengajian tinggi pertama beraksi dalam Liga Super.

Skuad The Lion Troops itu akan mengisi kekosongan ‘tempat’ ditinggalkan PKNS FC apabila pasukan berkenaan kini bergabung dengan pasukan Selangor untuk bersaing dalam Liga Super.

Pada musim lepas, UiTM FC menamatkan saingan Liga Perdana dengan menghuni tangga kelima liga. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button