SukanUncategorized

Mengapa Cristiano Ronaldo enggan mencacah tatu pada tubuhnya?

SAMA ada anda suka atau benci, sikap mengagumkan Cristiano Ronaldo terhadap kerja-kerja kebajikan memang tidak boleh dinafikan. Daripada tindakkannya menderma 1.2 juta pound (RM6.75 juta) wang hasil jualan Kasut Emas Eropah 2011 untuk mengumpul dana bagi membina beberapa buah sekolah di Gaza sehinggalah dilaporkan menyumbang sebanyak 5 juta pound (RM28.15 juta) kepada tabung bencana kanak-kanak setelah gempa bumi melanda Nepal pada 2015, usaha murni Cristiano itu sewajarnya dikagumi.

Cerita tentang tingkah laku terpuji Cristiano terus tersebar ke seluruh dunia, dan salah satu daripadanya ialah dia menjadi penderma darah secara tetap. Malah, bintang Juventus itu cukup komited menderma darah sehingga mendorong kepada keengganannnya untuk mencacah tatu pada tubuhnya bagi membolehkan dia berbuat demikian dengan lebih kerap.

Sudah tentu individu yang bertatu boleh menderma darah tetapi mereka tidak boleh terus berbuat demikian sebaik selepas mencacah tatu kerana risiko jangkitan.

Garis panduan meletakkan syarat penderma perlu menunggu selama empat bulan sebelum menderma darah selepas mencacah tatu yang mana bekas bintang Manchester United itu dikatakan menjadi penderma secara tetap.

Ronaldo memanfaatkan popularitinya di peringkat global untuk cuba menjadi inspirasi kepada generasi muda menyelamatkan nyawa insan lain.

“Kita semua boleh melakukan perubahan dengan menderma darah. Setiap pendermaan mampu memberi manfaat kepada tiga orang yang berada dalam situasi kecemasan dan juga mereka yang memerlukan rawatan jangka panjang.

“Sebab itu saya begitu bersemangat bagi memupuk kesedaran tentang pentingnya menderma darah dan menggalakkan orang ramai di seluruh dunia menjadi penderma darah seumur hidup dan membantu selamatkan nyawa orang lain,” katanya kepada Eurosport pada 2015.

Dikhabarkan Ronaldo turut menjadi penderma sumsum tulang selepas menyaksikan anak kepada rakan sepasukannya bergelut menunggu penderma.

“Sewaktu Carlos (Martins) berada bersama kami dalam skuad kebangsaan, dia ada menceritakan tentang masalah anak lelakinya dan kami para pemain menunjukkan sikap penyatuan kami membantu dia dan anaknya kerana kami tahu ia merupakan satu situasi yang amat sukar.

“Ramai yang menyangka (menderma sumsum tulang) sukar dilakukan tetapi ia seperti juga menderma darah dan ia tidak sakit.

“Saya telah lama melakukannya dan jika perlu berbuat demikian sekali lagi, saya akan lakukannya kerana ia merupakan penyakit yang serius kepada ramai kanak-kanak dan kita perlu membantu mereka,” kata Ronaldo kepada stesen radio, Cadena Cope. – Sport Bible – SM

(Visited 715 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button