Hiburan

Filem Mencari Rahmat ditunda kali kedua

BAGI pengikut filem tempatan, ramai sebenarnya yang sedang menunggu masa untuk menonton filem berjudul Mencari Rahmat.

Barisan pelakon berkualiti, jalan cerita dan sinematografi dalam filem tersebut benar-benar menarik perhatian ramai penonton.

Namun, penerbit filem tersebut memberitahu, Mencari Rahmat yang sepatutnya ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 31 Disember ini terpaksa ditunda ke tarikh lain.

Menurut Zuli Ismail, penundaan tarikh tayangan filem berkenaan dilakukan berikutan pihak pawagam membuat keputusan untuk menutup sementara panggung wayang bermula 2 November lalu sehingga satu tarikh yang akan diberitahu.

“Sebagai penerbit, saya inginkan nyatakan bahawa tarikh tayangan filem Mencari Rahmat yang dijadualkan pada 31 Disember ini terpaksa ditunda berikutan penutupan sementara operasi pawagam.


“Kami juga telah menerima surat daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang memaklumkan tarikh tayangan filem ini akan dijadualkan semula,” katanya.

Zuli berkata, setakat ini tarikh baharu tayangan masih belum diperoleh dan pihaknya akan berbincang mengenainya dengan lebih lanjut agar satu tarikh baharu dapat ditetapkan.

“Saya percaya ramai yang menantikan tayangan filem ini, namun ia adalah satu perkara yang tidak dapat kami elakkan sama sekali berdasarkan situasi yang berlaku sekarang ini.

“Sudah tentu kami berharap agar penonton dapat bersabar sehingga filem ini akan ditayangkan di pawagam,” jelasnya.

Ini merupakan penundaan kali kedua tarikh tayangan setelah ia sepatutnya ditayangkan pada 18 Jun lalu berikutan pandemik Covid-19 yang sedang merebak ketika itu.  -SM

(Visited 117 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button