Jenayah

Fahmi arah lapor polis pihak fitnah berkaitan GVF23

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyelar tindakan pihak tertentu yang menyebarkan poster mengandungi fitnah kononnya beliau mengarahkan tentera siber penyokong kerajaan mencipta naratif jahat untuk menyalahkan Pas dalam isu pembatalan Festival Good Vibes 2023 (GVF23).

Menerusi hantaran di media sosial, Fahmi memaklumkan telah mengarahkan pejabatnya untuk membuat laporan berhubung penyebaran poster itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Polis Diraja Malaysia.

“Di hari kita semua bersedih kehilangan seorang rakan seperjuangan yang baik, ada yang masih sempat dan tak takut melakukan fitnah.

“Bagaimana pereka poster ini boleh dengan tidak ada rasa takut akan undang-undang mahu pun akhirat, membuat fitnah secara terbuka seperti ini. Semoga Allah SWT sentiasa melindungi kita daripada fitnah dan para pemfitnah ini,” katanya.

Poster itu antara lain mendakwa Fahmi mengarahkan supaya Pas ditonjolkan sebagai parti ekstrem, sebagai langkah terdesak beliau yang meluluskan permit The 1975, kumpulan yang melakukan aksi tidak senonoh dan biadab ketika membuat persembahan di GVF23.

Fahmi berkata, permohonan permit kumpulan The 1975 oleh penganjur GVF23 telah ditolak oleh Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) pada 23 Jun lepas susulan rekod buruk mereka.

Katanya, bagaimanapun pada 16 Julai lepas, penganjur telah membuat rayuan dan jaminan bertulis termasuk daripada pengurus kumpulan itu untuk bertanggungjawab sepenuhnya atas persembahan The 1975 dan PUSPAL menerimanya berdasarkan jaminan tersebut.

Beliau berkata, namun The 1975 telah melakukan aksi sangat biadab ketika persembahan Jumaat lepas pada kira-kira 11 malam, yang antara lain menyaksikan vokalisnya, Matty Healy memegang botol arak ketika di atas pentas selain berkelakuan lucah serta membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

(Visited 258 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button