Nasional

eBelia: RM300 juta e-tunai untuk 2 juta belia, pelajar dibuka 1 Jun

PROGRAM inisiatif kredit e-tunai, eBelia bernilai RM300 juta akan dibuka kepada dua juta belia dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) bermula 1 Jun ini.

Warganegara yang layak akan mendapat nilai kredit berjumlah RM150 berbanding RM100 sebelum ini.

Di bawah Belanjawan 2021 sejumlah RM200 juta telah diperuntukkan bagi menyalurkan RM100 kredit e-tunai bagi setiap warganergara yang layak.

Kerajaan kemudian menambahbaik inisiatif tersebut dengan peruntukan tambahan sejumlah RM100 juta di bawah program Pemerkasa yang diumumkan Mac lalu menjadikan keseluruhan peruntukan bagi program ini sebanyak RM300 juta.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, eBelia akan ditawarkan melalui empat penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, Boost, ShopeePay and Touch ‘n Go eWallet.

Secara keseluruhan keempat-empat penyedia perkhidmatan tersebut mempunyai 30 juta pengguna aktif dan jaringan lebih satu juta peniaga di dalam dan luar talian.

“Setiap pemohon yang layak boleh menuntut RM150 dalam bentuk kredit e-tunai daripada salah satu penyedia perkhidmatan e-tunai ini yang akan disertakan dengan insentif tambahan dalam bentuk cash back, baucar, mata terkumpul atau coins oleh penyedia perkhidmatan e-tunai yang dipilih sepanjang tempoh kempen,” katanya.

Inisiatif eBelia tersebut dibuka kepada warganegara Malaysia yang mencapai umur 18 hingga 20 tahun pada tahun ini atau mereka yang lahir pada tahun 2001 hingga 2003.

Pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau SKM4 dan ke atas di IPT tempatan berdaftar juga layak untuk memohon.

Menurutnya, data belia akan disemak silang dengan IPT tempatan yang berdaftar dan pangkalan data Kerajaan yang berkenaan.

Tempoh tuntutan kredit tersebut adalah dari 1 Jun hingga 22 Julai 2021 dan kredit tersebut boleh dibelanjakan sehingga 31 Julai 2021.

Mereka yang layak digalakkan untuk mengemas kini akaun di aplikasi e-tunai masing-masing atau memuat turun aplikasi e-tunai tersebut sebelum 1 Jun 2021.

eBelia merupakan sebuah kerjasama Kementerian Kewangan bersama Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Sumber Manusia, dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Untuk maklumat lanjut boleh layari Belanjawan 2021, program eBelia

(Visited 405 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button