NasionalPolitik

Apa sahaja keputusan RoS, UMNO perlu terima

UMNO tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menerima apa sahaja keputusan yang bakal diputuskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) selewat-lewatnya Sabtu ini berhubung permohonan meminda perlembagaan.

Naib Presidennya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, setakat ini belum ada apa-apa keputusan daripada jabatan itu.

“Setakat ini kita tidak dapat lagi (keputusan) tetapi ada orang lawan teka sekarang ini, tetapi pada saya tak perlu keterlaluan, kita tunggu keputusan. Bila keputusan keluar pada waktu itu kita terima keputusan apa yang diputuskan.

“Ada dua sama ada diluluskan atau tidak diluluskan, itu sahaja. Kalau tidak lulus pemilihan kena buat, lepas itu baru pilihan raya, kalau lulus mungkin boleh pilihan raya dahulu baru boleh pemilihan,” katanya selepas menghadiri Majlis Taklimat Khas Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) Pedu di Kampung Padang Setol, Padang Terap, Kedah.

RoS sebelum ini memberitahu keputusan berhubung permohonan pindaan Perlembagaan UMNO akan diketahui selewat-lewatnya pada 16 Julai.

Ia berkaitan pindaan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO yang memberi tempoh untuk parti melanjutkan pemilihan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).

Pada 15 Mei lalu, seramai 2,586 perwakilan UMNO daripada 192 bahagian seluruh negara yang menghadiri PAU Khas di ibu negara sebulat suara meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO. – SM

(Visited 244 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button