fbpx
BeritaPolitik

Dr. Mahathir tidak pernah ingkar janji – Syed Saddiq

SELEPAS kekalahan pada pilihan raya kecil Kimanis, suara yang mendesak peralihan kuasa dan mahu Tun Dr. Mahathir Mohamad semakin galak.

Hari ini Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil mempertahankan dan mempersoalkan kegelojohan para pemimpin yang dilihat bersekongkol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Syed Saddiq yang merupakan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) berkata, sebelum PRU14, beliau bersama ahli majlis Presiden yang lain bersetuju secara konsensus untuk mengangkat Dr. Mahathir  sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-7.

“Kami juga setuju DS Anwar akan menggantikan YAB Tun selagi perjanjian ini dihormati,” katanya yang juga Ketua Armada Bersatu.

Menurut beliau, tidak pernah sekali pun Dr. Mahathir mengingkari janjinya.


“Setiap kali ditanya berkenaan transisi, Tun sentiasa menjawab dengan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan kepada Datuk Seri Anwar.

“Walaupun didesak kiri dan kanan oleh sekutu DS Anwar, Tun M masih tetap dengan pendirian ini. Beliau amat menghormati Konsensus PH,” kata Syed Saddiq.

Persoalannya, kata beliau, mengapa penyokong kuat Anwar seperti Ramkarpal,  Ramasamy,  Johari Abdul,  Ronnie Liu,  Abdullah Sani,  Akmal Nasir, Rafizi Ramli, Syukri Razab, Syed Husin dan banyak lagi tidak habis habis mempersoalkan kedudukan Dr. Mahathir  sebagai Perdana Menteri.

Sejak tahun lepas, kata Syed Saddiq, mereka mempersoalkan kedudukan Dr. Mahathir  dan membelakangkan konsensus PH.

“Tidak sampai 2-3 tahun Tun M memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, mereka sudah mendesak YAB Tun M meletakkan jawatan.

“Bagaimana YAB Tun M ingin mentadbir negara jika setiap hari didesak, ditekan dan diserang oleh mereka yang dianggap sebagai sekutu DS Anwar?

“Saya melihat perkara ini sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab dan tidak berdisiplin,” katanya.

Malahan, kata Syed Saddiq, lebih daripada itu tindakan ini boleh dianggap tidak mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.

“Jika mereka boleh membelakangkan konsensus dan persetujuan bersama PH, bolehkah saya lakukan yang sama, jika saya mahu?” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button