fbpx
Nasional

Desakan undi pos PRN Sabah: SPR ambil kira – Dr. Azmi

KALAU dikatakan, “jangan nak macam-macam” mungkin ada yang akan rasa kurang senang namun melihatkan kepada desakan yang dilakukan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), desakan yang diterima diterjemahkan sebagai suatu penambah baikan yang perlu diambil kira oleh badan tersebut.

Sememangnya SPR mengambil maklum hal berkaitan kertas undi pos yang dibangkitkan beberapa pihak.

Ada pihak yang mahukan suruhanjaya itu mempertimbangkan cadangan membenarkan pengundi Sabah yang bekerja di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, mengundi secara pos dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan depan.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom berkata, menyentuh hal itu, kemudahan undi pos tidak dapat diberikan kepada pengundi luar kawasan seperti yang berada di Semenanjung Malaysia.

Tegas Dr. Azmi, ini berikutan sistem sedia ada tidak mampu untuk menampung jumlah yang besar.


Beliau turut memberi pencerahan, faktor pertambahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah daripada 60 kepada 73 kerusi juga menyebabkan kemudahan itu sukar dilaksanakan. Selain itu, SPR tidak sempat menambah baik sistem undi pos memandangkan ia adalah pilihan raya mengejut, katanya.

Azmi berkata, SPR memahami kekecewaan pengundi Sabah berhubung perkara berkenaan.

“Dan sebagai sebuah agensi yang matang, SPR mendengar setiap kritikan yang dilemparkan dan akan berusaha gigih memperbaiki proses undi pos negara ini.

“Jika kita tak dapat sediakan satu sistem yang sempurna dan selamat, ia lebih berbahaya jika kita melakukan sesuatu dengan tergesa-gesa.

“Ia mungkin menimbulkan lebih masalah daripada apa yang kita hendak selesaikan,” ujar beliau seperti dilapor BERNAMA.

Katanya lagi, pihak SPR ingin menyelesaikan suatu masalah tetapi mungkin menyebabkan timbul masalah lain.

“Jadi, adalah lebih baik berhati-hati daripada menyesal kemudian. Saya faham tetapi inilah penjelasan saya. Kalau rakyat Sabah masih marah, saya minta maaf,” katanya jujur.

SPR menetapkan PRN Sabah diadakan pada 26 September ini dengan hari pencalonan jatuh pada 12 September.

Pengundian awal ialah pada 22 September yang membabitkan 1.12 juta pemilih berdaftar layak mengundi.

Usaha menambah baik proses pengundian pos merupakan antara tumpuan SPR ketika ini bagi mengukuhkan sistem perjalanan pilihan raya negara.

Dalam masa yang sama, kata Azmi lagi, sebuah jawatankuasa khusus diketuai Ahli SPR, Datuk Chin Phaik Yoong sedang mengkaji penambah baikan itu.

Ini terutamanya dalam menyelesaikan pelbagai isu undi pos termasuk hal kertas undi tidak sampai kepada pengundi.

“Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, sistem undi pos menghadapi banyak masalah dengan berlaku peratusan yang sangat tinggi (kertas undi pos) tidak sampai. Ini tidak patut berlaku,” kata Azmi.

Mengenai sistem pilihan raya negara secara keseluruhannya, Azmi yang juga bekas pensyarah undang-undang Universiti Malaya berkata, terdapat banyak penambahbaikan yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan keyakinan rakyat.

Antaranya sistem ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (PACA) dan sistem pemerhati.

Menurut Azmi, kehadiran PACA bagi memantau proses pengundian dan pengiraan undi di setiap saluran tidak memungkinkan berlaku penipuan seperti yang dibangkitkan sebelum ini.

“Dahulu ada yang menyatakan muncul kotak baharu dan sebagainya tetapi kini saya rasa hampir mustahil perkara itu boleh berlaku kerana apa yang penting adalah Borang 14 (penyata pengundian selepas pengiraan undi) yang ditandatangani oleh saksi iaitu PACA dan ketua tempat mengundi.

“Jika ada sistem sebegini dan sistem pemerhati yang datang boleh menyaksikan perkara yang berlaku, ini bermakna proses pengundian itu adalah lebih telus.

“Kalau kita terbuka dengan apa yang kita lakukan, susah untuk mengundang perkara yang tidak elok berlaku,” katanya.

Untuk rekod, Azmi terlibat dalam pengendalian enam pilihan raya kecil, sejak dilantik sebagai Timbalan Pengerusi SPR pada Februari 2019.

Mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun dan bertanding sebagai calon serta pendaftaran pengundi secara automatik, ini jawapan Azmi: “SPR sedang bertungkus-lumus menyediakan sistem yang baik dan selamat bagi melaksanakan pindaan berkenaan.

“Sistem pendaftaran secara automatik dijangka tersedia pada pertengahan tahun depan berikutan SPR perlu menyelesaikan pelbagai isu termasuk kesukaran menentukan daerah tempat mengundi.

“Ini kerana alamat yang tidak lengkap selain perlu bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara.

“Kalau orang itu dalam penjara dia tak boleh mengundi, begitu juga yang dalam hospital mental, kita tak boleh daftarkan.

“Ini bukan perkara mudah dengan sekadar mengambil (data) dari JPN. Sistem harus dijamin selamat sehingga data yang dipindahkan terpelihara.”

Azmi berkata, dengan pelaksanaan sistem pendaftaran pengundi secara automatik, SPR menjangkakan bilangan pemilih berdaftar yang ketika ini kira-kira 15 juta, akan meningkat kepada lebih 19 juta orang termasuk kira-kira 4 juta rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Kata Azmi, jumlah itu tidak termasuk mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun yang layak mengundi apabila sistem berkenaan siap kelak. – SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button