Hiburan

Datin Lola, Faisal juara duet Pertandingan Nyanyian Tiru Gaya P. Ramlee dan Saloma

BERPULUH  tahun mencari “P. Ramlee” untuk berduet akhirnya Ramlah Man menemuinya sekaligus menjuarai Pertandingan Nyanyian Tiru Gaya P. Ramlee dan Saloma di Hotel Brasmana, Kuala Perlis.

Lagu “Di Mana Suara Burung Kenari” membawa tuah kepada Ramlah atau lebih dikenali sebagai Datin Lola setelah ditemukan dengan Faisal Hasan, 38, yang dicadangkan oleh pasangan duet asalnya yang kebetulan terpaksa menarik diri.

“Dua minggu kami berlatih secara serius di bawah bimbingan suami, Datuk L. Ramlee,” katanya kepada Suara Merdeka.

Norazlin (tengah) bersama pemenang Pertandingan Nyanyian Tiru Gaya P. Ramlee dan Saloma di Hotel Brasmana, Kuala Perlis.

Datin Lola memberitahu, beliau bernasib baik dipertemukan dengan Faisal yang juga bukan calang-calang peserta kerana telah beberapa kali memenangi pertandingan nyanyi lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di sekitar Pulau Pinang.

Sekalipun Datin Lola pernah memenangi beberapa pertandingan menyanyi lagu-lagu Allahyarhamah Biduanita Puan Sri Saloma sebelum ini tetapi sebenarnya, buat pertama kali juga beliau menyertai pertandingan nyanyian P. Ramlee dan Saloma kerana tidak bertemu dengan pasangan duet yang sesuai selama ini.


Dengan kemenangan ini, pasangan ini berjaya membawa pulang RM1,500 dan mengenepikan lapan perserta lain.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Nurul Hani Nadierah dan Mohd Hafedz Halim yang membawa pulang RM1,000 dengan menyampaikan lagu berjudul “Jikalau Ku Tahu”.

Manakala tempat ketiga pula disandang oleh Muslihin Muhammad dan Hasnita Abd. Hamid yang menerima hadiah RM800 dengan mendendangkan lagu “Seri bulan”.

Bagi kategori persembahan terbaik pula dimenangi oleh Mohd Danial Mohd Salleh dan Bibi Baharum yang menerima RM400.

Pertandingan ini dianjurkan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan (JKKN) Perlis.

Barisan juri Pertandingan Nyanyian Tiru Gaya P. Ramlee dan Saloma di Hotel Brasmana, Kuala Perlis.

Terdahulu, saringan dijalankan dengan melibatkan penyertaan peserta dari Melaka, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Shah Alam, Selangor, Datuk Keramat dan Kedah.

Diperingkat saringan, hanya sembilan pasangan duet sahaja yang layak ke peringkat akhir.

Bagi mengadili pertandingan ini, juri diketuai Megat Mohd Noor Megat Teh di samping Harun Ahmad, Izwan Izhar Haris dan juri khas, Noor Hanan Hassan.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pengarah JKKN Perlis, Norazlin Nordin dan hadir sama, Yang Dipertua Kelab Peminat P. Ramlee dan Saloma (KPPRS), Ghazali Johari. – SM

(Visited 191 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button