Politik

‘Perkongsian’ perlu dinilai semula – Zahid

UNGKAPAN Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Facebooknya mengenai perkongsian kuasa, tentang kejujuran dan menilai semula perkongsian mencetuskan pertanyaan.

Kata-kata tersebut diluahkan Ahmad Zahid beberapa jam selepas bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam dalam kes berkaitan SRC International.

Menurut Ahmad Zahid keikhlasan dan kejujuran amat penting dalam berkongsi kuasa. Kedua-dua sifat terpuji itu merupakan prinsip utama dalam sebarang bentuk perkongsian.

Dalam hantaran itu, ungkapan Ahmad Zahid bahawa perkongsian perlu dinilai semula selepas keikhlasan dan kejujuran diketepikan, mencetuskan tanda tanya.

“Untuk berkongsi hidup, apatah lagi berkongsi kuasa, keikhlasan dan kejujuran merupakan prinsip utama perkongsian. Apabila keikhlasan dan kejujuran diketepikan, sebarang perkongsian harus dinilai semula #UMNObangkit,” tulis Ahmad Zahid.

Dalam bahagian komen beberapa pengikut Facebook Ahmad Zahid merayu agar Presiden UMNO itu membawa keluar parti tersebut daripada Perikatan Nasional dan seterusnya memperkukuhkan Muafakat Nasional.

“Susah kalau saki baki daki dalam PH tu ada dalam PN. Muafakat Nasional adalah peneraju sebenar insya-Allah,” kata Muhamad Firdaus.

“Keluar dari PN Datuk Seri,” kata Sujita Soorian.

“Patut dan nilaikan semula..Umno harus bermaruah..Kita tidak takut jadi pembangkang tapi kuasa yang ada ibarat Umno melukut ditepi gantang..!” coret Hafiz Nafiah.

Ketika ini UMNO berkongsi kuasa dengan beberapa parti yang membentuk Perikatan Nasional sebagai Kerajaan Persekutuan yang mentabir Malaysia.

Selain UMNO, turut berkongsi kuasa dalam perikatan itu adalan Bersatu, Pas dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak dengan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai Perdana Menteri.

Sebelum ini UMNO bersama komponen BN dan Pas bekerjasama dalam Muafakat Nasional. Kerjasama  itu ternyata memberi momentum apabila mereka memenangi lima pilihan raya kecil berturut-turut sebelum Kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Semalam  Najib didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kesemua pertuduhan terhadap Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan kes CBT dan setiap kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun dalam kes menyalahguna kedudukan.

Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah Mohd Nazlan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.-SM

 

(Visited 143 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button